suria

Sekolah Berprestasi Tinggi Tanda Aras Kecemerlangan Pendidikan - Muhyiddin

JITRA: Matlamat utama Kementerian Pelajaran ialah untuk menjadikan sekolah berprestasi tinggi sebagai tanda aras kecemerlangan bagi dicontohi sekolah lain terutama sekolah kebangsaan.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata memandangkan status berprestasi tinggi akan diberikan kepada sekolah yang mencapai atau melebihi tanda aras itu, kerajaan berharap lebih banyak sekolah berusaha meningkatkan kualiti dan menjadi pilihan utama semua rakyat Malaysia.

Beliau berkata sebagai sebahagian daripada Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) dalam pendidikan, kerajaan meletakkan sasaran untuk mewujudkan 100 sekolah berprestasi tinggi menjelang 2012.

"Status itu akan diberi kepada sekolah terbaik yang mempunyai identiti unik yang membolehkan pelajar mencapai kecemerlangan dalam semua aspek pendidikan.

"Sekolah-sekolah ini akan mempunyai budaya kerja yang kuat dan cemerlang dan melahirkan modal insan yang dinamik untuk pembangunan negara," katanya ketika berucap pada penutup persidangan mengenai Kepimpinan dan Pengurusan Pendidikan di Institut Aminuddin Baki, di sini Khamis.

Muhyiddin berkata dalam usaha meningkatkan prestasi sekolah, adalah penting untuk melahirkan pemimpin yang berprestasi tinggi di kalangan pemimpin sekolah.

"Guru Besar, pengetua dan pasukan kepimpinan sekolah mesti dinamik, tekun, berdisiplin, pakar dalam bidang mereka dan berorientasikan hasil.

"Dalam membina kecemerlangan, pemimpin sekolah mesti mengenalpasti secara spesifik cabaran yang perlu ditangani, mempunyai fokus yang jelas mengenai hasil dan prestasi yang ingin dicapai dan mengamalkan secara berterusan budaya ingin cemerlang," katanya.

Beliau berkata mereka perlu mempunyai sikap sanggup menerima cabaran dan sentiasa berusaha mencari idea dan amalan baru dalam meningkatkan kualiti pengurusan sekolah dan pembelajaran.

Muhyiddin berkata tanpa pemimpin yang mempunyai prestasi tinggi, pelajar tidak akan cemerlang dan kualiti sekolah akan menurun. BERNAMA

Artikel Lain