suria

Malaysia tidak boleh lagi dipromosikan sebagai pusat pendidikan murah

NILAI: Malaysia tidak boleh lagi dipromosikan sebagai negara yang menawarkan pusat pendidikan yang murah dan mudah, kata Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Beliau berkata Malaysia perlu bertindak lebih agresif dalam menarik penuntut asing tetapi kali ini tumpuan perlu diberikan untuk menarik pelajar dari luar negara yang terbaik di kalangan mereka.

"Kita mesti menukar strategi ini. Kita tidak boleh hanya memaparkan seolah-olah Malaysia adalah tempat yang murah dan mudah untuk pendidikan yang selama ini kita gunakan," katanya berucap di Seminar Penyediaan Program/Projek Pembangunan Rancangan Malaysia ke 10 (RMK10) di sini semalam.

Katanya Malaysia perlu menyakinkan pasaran sedia ada bahawa negara ini bukan sahaja menawarkan pendidikan bermutu tetapi juga peluang untuk meneroka kosmopolitan, budaya, sekaligus menyediakan penuntut antarabangsa perspektif tentang sistem nilai Asia.

Nilai ini penting kerana abad ke-21 merupakan abad Asia dan pusat pertumbuhan ekonomi dunia paling dinamik ialah di rantau sebelah sini, katanya.

Malaysia perlu mencontohi Australia yang ketika ini berjaya mengatasi United Kingdom dan Amerika Syarikat dalam menarik penuntut asing belajar di negara berkenaan, katanya.

Khaled juga mencadangkan supaya dana penyelidikan untuk universiti ditambah dalam RMK10 pada kadar 1.5 kepada dua peratus daripada Keluaran Negara Kasar.

"Saya percaya cadangan ini mungkin sedikit keterlaluan tetapi manakah negara maju yang pelaburan dan penyelidikannya kurang dari 1.5 peratus dari GDPnya," tambah beliau.

Katanya, untuk maju, negara tidak memerlukan bangunan yang canggih dan mahal sebaliknya penyelidik memerlukan peralatan yang baik dan program penyelidikan yang bermutu.

"Ini bermakna kita harus mensasarkan pengagihan geran penyelidikan secara kompetitif tanpa mengira sama ada universiti awam atau swasta. Ini penting untuk membolehkan Malaysia mengekalkan daya saing sebagai negara yang paling kompetitif dan berekonomi global," katanya. BERNAMA

Artikel Lain