suria

Lagak mewah tiga lelaki warga Indonesia terbongkar

KLUANG: Sejak beberapa bulan lepas tiga lelaki warga Indonesia berlagak hidup mewah dengan menjadikan sebuah hotel di Johor Baharu sebagai rumah mereka.

Bagaimanapun rahsia kehidupan mewah mereka terbongkar apabila ketiga-tiga mereka yang berasal daripada Pulau Batam ditahan sepasukan anggota polis pada 2.30 pagi, Rabu minggu lepas.

Ketua Polis Daerah Kluang ACP Mohamed Fawzi Arshad berkata di sebalik kehidupan mewah itu.

Ketiga-tiga mereka disyaki terlibat dalam beberapa kes jenayah termasuk tujuh kes samun pelanggan bank di Kluang dan Simpang Renggam.

"Kumpulan ini dipercayai mensasarkan mangsa yang baru mengeluarkan wang dari bank dan berikutan penahanan mereka, polis percaya tujuh kes yang dilaporkan berlaku di Kluang dan Simpang Renggam dapat diselesaikan.

"Mereka melakukan kegiatan itu sejak tiga bulan lepas, tetapi kami sukar mengenalpasti pembabitan mereka dalam beberapa kes lampau, kerana mereka memasuki negara ini secara haram," katanya pada sidang akhbar hari ini.

Ketika serbuan, Mohamed Fawzi berkata ketiga-tiga rakyat Indonesia berumur antara 33 dan 47 tahun itu sedang tidur di bilik hotel itu.

Polis merampas enam telefon bimbit selain tiga kereta yang juga dipercayai dicuri serta wang tunai sebanyak RM4,724, matawang Singapura sebanyak SG$434, US$10 dan Rupiah 160,000, katanya.

Beliau berkata polis turut menemui lima komputer riba yang dipercayai disamun di daerah lain.

Tiga lelaki itu kini ditahan reman sehingga Rabu depan untuk siasatan lanjut termasuk bagi mengenalpasti pembabitan mereka dalam kes jenayah di daerah lain, katanya. BERNAMA

Artikel Lain