suria

Hakim benarkan permohonan pembelaan panggil lima pegawai SPRM

TEMERLOH: Mahkamah Sesyen di sini membenarkan permohonan peguam Datuk Seri Muhammad Shafee Abdullah untuk memanggil lima pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi proses pengecaman dalam kes rasuah bekas Ketua Pemuda Umno Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur Datuk Mohamad Norza Zakaria.

Hakim Azuar Che Yusof hari ini membenarkan permohonan peguam terbabit setelah hujah-hujah yang dikemukakan oleh pihak pembelaan gagal dicabar oleh Timbalan Pendakwa Raya SPRM Ahmad Sazilee Abdul Khairy.

Muhammad Shafee memohon supaya mahkamah membenarkan lima pegawai terbabit dibawa ke mahkamah bagi dicam oleh saksi kedua kes itu, Mohd Taupik Hussain yang mendakwa tiga daripada pegawai itu menderanya ketika proses soal siasat.

Beliau mengemukakan permohonan itu mengikut Seksyen 425 Kanun Acara Jenayah yang membolehkan hakim memanggil sesiapa saja sebagai saksi dalam apaapa prosiding demi keadilan untuk permohonan berkenaan.

Katanya tiga pegawai yang didakwa melakukan penderaan terhadap saksi itu adalah Mohd Hasrol Hashim, Ramli Supaat dan Azhar Ismail manakala pegawai yang mengambil keterangan adalah Izzi Arman Abdullah dan Baharuddin Harun di mana kedua-dua keterangan itu adalah berbeza sama sekali.

Mohamad Norza, 43, yang juga bekas anggota Majlis Tertinggi (MT) Umno, dituduh memberi suapan RM1,500 kepada Khadri Musa menerusi Halimi Kamaruzzaman untuk diagihkan kepada perwakilan sebagai dorongan supaya mengundinya memenangi jawatan MT Umno pada Perhimpunan Agung Umno Mac lepas.

Dia juga dituduh memberi suapan RM1,900 kepada Mohammad Anuar Yunus menerusi Halimi bagi tujuan sama. Keduadua tuduhan itu didakwa dilakukan di No 38, Pinggiran Tasik, Taman Bandar Temerloh pada 6.30 petang, 20 Januari lepas.

Halimi, 47, dari No 99, Lorong IM2/88, Taman Medan Mahsyur, Bandar Indera Mahkota, Kuantan, pula dituduh memberikan suapan itu kepada Khadri dan Mohammad Anuar pada tarikh dan di tempat yang sama.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 16(b)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694) dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah suapan atau RM10,000 atau mana lebih tinggi.

Perbicaraan bersambung 22 Disember ini. BERNAMA

Artikel Lain