suria

Dedahkan KPI setiap Exco supaya rakyat dapat menilai mereka

SHAH ALAM: Timbalan Ketua Pembangkang Selangor Datuk Mohd Satim Diman semalam mendesak kerajaan negeri mendedahkan Indeks Penunjuk Prestasi (KPI) setiap Exco supaya rakyat dapat menilai sama ada mereka menjalankan tugas sebagaimana diamanahkan.

Katanya pendedahan KPI itu perlu kerana mendakwa pentadbiran kerajaan negeri di bawah pimpinan pakatan pembangkang ketika ini kelihatan bercelaru daripada segi bidang tugas mengikut portfolio masing-masing.

"Saya melihat bahawa ada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang juga Exco ketika ini tidak fokus dalam menjalankan tugas masing-masing. Malah ada yang mencampuri urusan portfolio Exco lain dalam urusan pentadbiran kerajaan negeri," katanya ketika membahaskan Bajet Selangor 2010 pada sidang Dewan Undangan Negeri di sini.

"Maka, saya mahu satu penyataan rasmi dikeluarkan mengenai KPI bagi setiap Exco dan mendedahkan kepada semua pihak meliputi AdunAdun, penjawat awam dan paling penting kepada rakyat supaya mereka dapat menilai Exco yang dilantik benar-benar layak atau sebaliknya," kata Satim (BN-Seri Serdang).

Tugas Exco atau Adun tidak hanya hadir pada persidangan Dewan Undangan Negeri dan menyoal atau menjawab soalan-soalan yang dikemukakan tetapi sebenarnya merangkumi semua perkara melibatkan rakyat di negeri ini, katanya.

Dalam pada itu, Satim turut mempersoalkan Bajet 2010 berjumlah RM1.3 bilion yang didakwanya lebih "mesra kerajaan negeri" daripada "mesra rakyat". BERNAMA

Artikel Lain