suria

Presiden Indonesia Diberi Sambutan Rasmi

KUALA LUMPUR: Presiden Indonesia Susilo Bambang Yudhoyono yang dalam rangka lawatan dua hari ke Malaysia diberi sambutan rasmi di dataran Parlimen di sini hari ini.

Ketibaan beliau yang diiringi isteri, Ani Bambang Yudhoyono disambut oleh Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Raja Permaisuri Agong Tuanku Nur Zahirah.

Turut hadir ialah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor, barisan menteri Kabinet serta para perwakilan asing.

Lagu kebangsaan kedua-dua negara dimainkan sebelum Susilo memeriksa kawalan kehormat yang dibarisi 107 pegawai dan anggota Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja yang diketuai Mej Mohd Radzi Othman.

Lawatan Susilo ke Malaysia merupakan lawatan pertama beliau ke luar negara selepas mengangkat sumpah sebagai Presiden Indonesia bagi penggal kedua pada Oktober lepas. BERNAMA

Artikel Lain