suria

Penahanan Dr Asri: Janganlah Terlalu Cepat Nak Tangkap Orang, Kata Dr M

PETALING JAYA: Bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata beliau berdebar hati apabila membaca yang Dr Mohd Asri Zainul Abidin bekas mufti Perlis ditangkap, dibawa ke balai polis dan kemudian dilepas dengan ikat jamin polis.

"Seramai 30 anggota polis dan 20 lebih anggota Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) telah melakukan tangkapan ini. Ternampak seolah-olah Dr Asri ini seorang penjenayah besar yang mungkin mengganas apabila ditangkap.

"Tetapi beliau tidak pula memberontak. Sebaliknya beliau turut sahaja tanpa bantahan yang keras," jelas Dr Mahathir di dalam blognya semalam.

Kata beliau lagi yang menulis di bawah tajuk 'Ahli Sunnah Wal Jamaah', akhbar pula melaporkan kes terhadap Dr Asri belum pun disediakan.

"Apakah tidak ada "due process" dalam penguatkuasaan undang-undang Islam di negara ini. Apakah mereka yang diberi kuasa dalam melaksanakan hukum Islam boleh dengan sewenang-wenangnya menangkap sesiapa sahaja.

"Janganlah terlalu cepat nak tangkap orang," komen Dr Mahathir ketika melihat perkembangan tidak sihat yang berlaku ekoran isu penahanan Dr Asri.

Menurutnya lagi, beliau baru-baru ini telah menulis sedikit dibawah tajuk "Hukum Allah" berkenaan apabila sesuatu yang didakwa adalah hukum Allah sama ada benar ia adalah hukum Allah.

"Saya dikecam hebat oleh orang yang mungkin lebih terpelajar dalam agama. Nampaknya agama Islam di Malaysia ini tidak boleh disoal barang sedikit pun, walaupun untuk mendapat penjelasan.

"Teringat saya akan "Islam Hadhari" yang saya dimaklumkan adalah Islam yang sesuai untuk zaman ini, iaitu Islam moden. Apakah ia sebahagian daripada kepercayaan ahli Sunah wal-Jemaah?

"Jika ya, maka orang Islam di Malaysia hendaklah masuk Islam Hadhari. Jika tidak apakah tindakan yang perlu diambil oleh penguasa agama Islam terhadap ajaran Islam Hadhari?," katanya.

Negarawan ini juga berkata beliau keliru apabila membaca tulisan seorang pengkritik Dr Asri bahawa satu dari kesalahannya ialah beliau cuba berpandu kepada Al Quran dan Hadith dan tidak kepada ijma ulama ahli Sunnah wal jamaah. "Walaupun kita diberitahu ulama adalah pewaris Nabi tetapi mereka bukanlah Nabi. Mereka hanya manusia biasa walaupun terpelajar dalam agama Islam. Manusia biasa boleh membuat kesalahan termasuk kesalahan mentafsir.

"Sebab itulah terdapat banyak tafsiran yang amat berbeza antara mereka sehingga berlaku permusuhan dan peperangan antara pengikut mereka. Ini bermakna ada diantara tafsiran mereka yang mungkin tidak betul. "Di negara kita ini pun terdapat banyak perbezaan pendapat walaupun kita semua menerima ajaran ahli sunnah wal jamaah imam Shafii. Diantara sembilan negara dan satu wilayah di Malaysia terdapat banyak perbezaan dari hukum dan ajaran Islam. Hendak tentukan Hari Raya pun terdapat perbezaan pendapat," jelasnya.

Dr Mahathir terpanggil mengulas isu penahanan Dr Asri setelah tokoh agama itu ditahan pada 1 November lalu kerana kesalahan mengajar agama tanpa tauliah oleh pihak JAIS.

Dr Asri ditahan pada pukul 9 malam oleh sekumpulan anggota JAIS di sebuah banglo milik seorang ahli perniagaan di Taman Sri Ukay, Hulu Klang ketika memberikan ceramah.

Selain tuduhan kesalahan mengajar agama tanpa tauliah, isu lain yang turut dibangkitkan ialah isu penyebaran ajaran Wahabi. Dr Asri dituduh membawa ajaran Wahabi oleh beberapa pertubuhan Islam hinggakan perkara ini terkandung di dalam salah satu bahagian dalam Memorandum Fitnah yang diusulkan oleh Persatuan Peguam Syarie Malaysia kepada Yang di-Pertuan Agung baru-baru ini.

"Hanya kerana adanya perbezaan pendapat yang tidak besar tidak sepatutnya menyebab tuduhan bahawa seseorang itu sudah tidak lagi turut ajaran sunni. Apatah lagi perbezaan pendapat itu dialas dengan hujah-hujah yang berasas kepada Al Quran dan Hadith.

"Tentu jelas perbezaan pendapat tidak menjadikan seseorang itu sudah terkeluar dari arus perdana Islam sunni. Sudah tentu jika dikaji pendapat ulama yang mengikut ajaran sunni di negara-negara lain akan terdapat lebih banyak perbezaan," katanya lagi.

Menurut tokoh politik yang disegani ini, semasa beliau kecil, lukisan rupa manusia dan binatang, penggunaan lampu letrik di dalam masjid dan kegunaan kereta bermotor untuk jenazah dilarang.

"Tetapi semuanya dianggap halal sekarang. Sekali lagi ajaran Islam dalam kaum sunni juga boleh berbeza dari satu masa ke satu masa.

"Saya tidak nafikan ajaran sesat ala Arqam, Ayah Pin dan Rasul Melayu perlu diawasi dan disekat. Tetapi janganlah penguasa agama terlalu ghairah hendak haramkan syarahan agama oleh orang yang tidak sebulu dengan mereka tanpa membuktikan ajaran itu memang bertentangan dengan Islam," ujarnya.

Meskipun Dr Mahathir menerangkan apa yang dirasakan berkenaan isu penahanan Dr Asri, beliau boleh mengagak reaksi dari mereka yang tidak bersetuju dengan pandangannya.

"Jawapan kepada saya tentulah saya jahil berkenaan agama Islam dan tidak berhak bercakap berkenaan dengannya. Yang tidak akan dijawab ialah yang mana satu yang saya perkatakan ini adalah tidak berasas kepada kenyataan," katanya.

Artikel Lain