suria

Enakmen Pentadbiran Agama Islam Selangor Tidak Perlu Dikaji Mengenai Tauliah

SHAH ALAM: Enakmen Pentadbiran Agama Islam Selangor 2003 tidak perlu dikaji bagi membolehkan seseorang mendapatkan tauliah sebelum berceramah, kata Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Islam, Adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam Selangor Datuk Dr Hasan Mohamed Ali.

Beliau berkata enakmen ini sebenarnya sangat adil tetapi mungkin ada pihak-pihak yang tidak berpuas hati dengannya.

Keperluan pentauliahan kepada seseorang penceramah sama ada mereka berpengalaman atau diiktiraf itu, bergantung kepada peraturan negeri masing-masing, katanya kepada pemberita selepas persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas keperluan pentauliahan bagi penceramah di Selangor ekoran bekas Mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin ditahan ketika memberikan ceramah tanpa tauliah di Taman Sri Ukay, Hulu Klang pada 1 November lepas.

Hasan berkata: "Jadi enakmen tiada apa salahnya...orang yang datang ingin beri ceramah, khutbah, dan apa juga pengajaran agama, tak kira apa latar belakangnya...elok diketahui, siapa dia, latar belakang dia, apa yang nak diajar, rekod yang lepas... kan itu bagus."

Beliau berkata bukan kerajaan hendak menyekat tetapi hanya untuk berhati-hati kerana pada masa lepas ada pensyarah-pensyarah dari luar yang dikatakan membawa ajaran-ajaran yang meragukan.

Ditanya mengenai dakwaan Mohd Asri diperlakukan seolah-olah pengganas semasa ditahan, Hasan berkata jumlah anggota penguatkuasa Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan polis yang ramai, sebenarnya tidak jadi masalah asalkan mereka menjalankan tugas mengikut peraturan.

Beliau berkata menurut laporan yang diterimanya penguatkuasa JAIS memanggil polis selepas terpaksa menunggu lama untuk memujuk Mohd Asri menghentikan ceramahnya.

Ditanya mengenai perkembangan siasatan terhadap Mohd Asri, katanya kertas siasatan sudah disiapkan dan bekas mufti itu akan didakwa dalam waktu terdekat. BERNAMA

Artikel Lain