suria

Penembusan jalur lebar akan diteruskan, kata Najib

PUTRAJAYA: Kerajaan akan meneruskan rancangannya untuk meningkatkan penembusan jalur lebar kepada 50 peratus menjelang 2010 berbanding 24 peratus pada masa ini, kata Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak, hari ini.

Perdana Menteri berkata ia mengambil kira laporan Bank Dunia baru-baru ini yang menyebut setiap peningkatan 10 peratus dalam penembusan jalur lebar akan membantu meningkatkan keluaran dalam kasar negara (KDNK) sebanyak 1.3 peratus.

"Kita juga menjangkakan perkara yang sama di Malaysia. Ia bukan klise (kata-kata basi). Ia hakikat yang sudah terbukti. Korea Selatan sebagai contoh. Mereka melakukan usaha besar-besaran untuk pembangunan kandungan dan penembusan jalur lebar. Ia telah menyemarakkan ekonomi, malah lebih baik daripada Jepun," katanya.

Najib berkata demikian kepada pemberita selepas mesyuarat Panel Penasihat Antarabangsa Malaysia Koridor Raya Multimedia (MSC) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya. Mesyuarat itu adalah yang pertama dipengerusikan oleh Najib selaku Perdana Menteri.

Beliau berkata Malaysia mahu meningkatkan penembusan jalur lebar secara berperingkat-peringkat dan menjelang akhir tahun depan, ia mahukan kadar penembusan berkisar sekitar 50 peratus, disokong oleh perkhidmatan 4G oleh para penyedia perkhidmatan telekomunikasi.

4G ialah perkhidmatan yang mengoperasikan pelbagai rangkaian berbeza dengan pemindahan berkelajuan tinggi.

"Negara memerlukan penembusan yang lebih tinggi... menghubungkan tempat seperti hospital-hospital utama atau sekolah di kawasan terbabit. Kita boleh menyediakan garis panduan yang lebih jelas apabila kita menyediakan model ekonomi baharu menjelang akhir tahun.

"Model ekonomi itu menjangkau semua sektor dan teknologi komunikasi dan maklumat (ICT) yang akan digunakan secara menyeluruh," katanya.

Beliau berkata walaupun kerajaan tidak bercadang menyuntik dana tambahan untuk merealisasikan sasaran penembusan jalur lebar, ia sedang meneliti insentif untuk sektor swasta bagi menjayakannya.

"Kita sudahpun mempunyai RM2.4 bilion dalam inisiatif usaha sama awam-swasta. Telekom Malaysia sudah menyediakan kira-kira RM9 bilion untuk inisiatif jalur lebar...kami merasakan ia mencukupi untuk mencapai sasaran itu," katanya. BERNAMA

Artikel Lain