suria

Najib Anggap Mesyuarat MSC Produktif Dan Membuahkan Hasil

PUTRAJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menyifatkan Mesyuarat Panel Penasihat Antarabangsa MSC Ke12 (IAP) yang berakhir di sini, hari ini, sebagai produktif, membuahkan hasil dan memperlihatkan kefahaman yang mendalam. Beliau berkata pelbagai isu dan topik dibincangkan oleh 14 anggota panel tersebut yang terdiri daripada pemimpin industri Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) terkemuka dunia dan ketuaketua industri.

Ini merupakan mesyuarat MSC IAP pertama Najib selepas mengambil alih tampuk pemerintahan negara awal tahun ini.

Dua topik utama yang dibincangkan di mesyuarat sehari itu ialah bagaimana ICT boleh membantu Malaysia beralih menjadi satu model negara berpendapatan tinggi serta merealisasikan wawasan untuk menjadi negara maju menjelang 2020, kata beliau.

Beliau berkata topik lain ialah perubahan sosial. "Beberapa idea yang sangat baik telah diusulkan. Pertama, anggota IAP menegaskan akan kepentingan penembusan jalur lebar secara besarbesaran kerana ia akan menyediakan dorongan kepada kita untuk mengubah Malaysia, mencipta peluang pekerjaan dan meningkatkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia.

"Kedua, kepentingan pembangunan kandungan yang tidak boleh diperkecilkan.

"Ketiga, anggota IAP juga membincangkan mengenai keperluan untuk mewujudkan bukan sahaja bahagian penawaran tetapi juga bahagian permintaan," kata beliau kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat itu di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

Beliau berkata terdapat keperluan untuk menunjukkan kepada rakyat apa yang boleh dilakukan oleh ICT untuk mengubah kehidupan mereka kerana ia boleh mewujudkan ledakan permintaan.

"Keempat, penting bagi kita untuk menyediakan lebih banyak Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) terutamanya membangunkan makmal penyelidikan bertaraf dunia bagi menarik tenaga kerja terbaik ke Malaysia," kata beliau.

Najib berkata cara terbaik untuk menarik tenaga kerja terbaik, terutamanya rakyat Malaysia yang bekerja di luar negara, adalah dengan membangunkan makmal penyelidikan bertaraf dunia.

Beliau berkata anggota IAP juga menyebut tentang kepentingan pembangunan baharu untuk menggunakan ICT bagi membangunkan simulasi dan R&D yang merupakan fenomena baharu dari segi menjalankan penyelidikan dan pembangunan.

"Idea-idea lain termasuklah mengukuhkan penerajuan dalam kluster khusus, meningkatkan keupayaan usahawan tekno dalam budaya, menyokong pengkomersialan ciptaan ICT yang membawa kepada keuntungan terutamanya di kalangan syarikat berstatus MSC Malaysia. "Memacu dan memudahkan guna pakai ICT dalam ekonomi, untuk kita menggerakkan rantaian nilai, meningkatkan pelaburan dalam kluster berpotensi tinggi Malaysia yang disasarkan, membantu mengembangkan bahagian pasaran dan kedudukan penerajuan syarikat MSC tempatan," kata beliau.

Sehubungan itu, kata Najib, kerajaan akan menyokong syarikatsyarikat Malaysia yang berpotensi dengan menyediakan kemungkinan pemerolehan agar mereka boleh berkembang untuk menjadi syarikat ikon serantau dan malahan global.

"Beberapa idea khusus termasuklah menggunakan ICT secara pintar bagi menjana kekayaan dengan mengurangkan kos ekonomi. Sebagai contoh, untuk menangani masalah kesesakan jalan raya, penggunaan ICT bagi mengurangkan kadar jenayah seperti yang dilaksanakan di New York," kata beliau.

Najib berkata perubahan sosial daripada peranan program ICT yang inovatif dan mapan adalah untuk mencungkil bakat kreatif golongan muda, kerjasama antara industri dan universiti dan mencari penyelesaian terbaik bagi menangani masalah negara, menggunakan sepenuhnya media baharu untuk berkomunikasi dengan lebih rapat dengan rakyat.

Beliau juga berkata anggota IAP tertarik dengan konsep 1Malaysia dan mereka percaya ia dapat diterima dengan baik bukan sahaja di kalangan rakyat Malaysia tetapi juga masyarakat antarabangsa. BERNAMA

Artikel Lain