suria

Majlis Syura PAS Tak Pernah Keluar Dasar Bai'ah - Salahuddin

KUALA LUMPUR: Majlis Syura Pas tidak pernah mengeluarkan sebarang dasar menghendaki pemimpin-pemimpin parti itu melafazkan bai'ah iaitu sumpah taat setia bahawa akan jatuh talak tiga terhadap isteri masing-masing jika mereka mengkhianati parti, kata naib presidennya Salahuddin Ayub.

"Secara rasminya tidak ada kenyataan atau arahan daripada Majlis Syura tentang perkara ini. Tunggulah jawapan rasmi daripada majlis itu," katanya kepada pemberita di Lobi Parlimen di sini Isnin.

Beliau berkata bai'ah memang dilakukan oleh pemimpin parti pada hari pertama mereka memegang jawatan tetapi ia sama seperti sumpah jawatan dan simpan rahsia, tetapi bukan seperti yang didakwa.

Anggota Parlimen Shah Alam Khalid Samad daripada Pas baru-baru ini mengakui bahawa wujudnya bai'ah seperti itu bagi wakil rakyat Pas yang berhenti atau keluar parti.

Seorang lagi Naib Presiden Pas, Datuk Mahfuz Omar, berkata di Kedah bahawa pemimpin atau wakil rakyat Pas tidak pernah diminta melafazkan ikrar Bai'ah cerai talak tiga seperti yang didakwa oleh Khalid itu.

"Isunya sekarang ialah tiada siapa yang mahu menceraikan isteri malah nak tambah lagi adalah, dan tidak ada arahan pun untuk berbuat demikian. Kami juga tidak tahu kerana di peringkat pusat pun tidak ada arahan seperti ini," kata Mahfuz yang juga Anggota Parlimen Pokok Sena.

Anggota Jawatankuasa Pas Pusat Datuk Husam Musa pula mempertahankan bai'ah yang wujud dalam parti itu dengan alasan untuk mengelak wakil rakyat mereka daripada dibeli oleh Umno.

"Saya rasa isu bai'ah dibangkitkan oleh Umno sebab mereka tahu mereka tidak boleh rampas wakil rakyat Pas.

"Kalau kita menang atas tiket mana-mana (parti) kemudian kita lompat parti lain, ini salah dari segi hukum. Bai'ah ini ialah bagi mempertahankan amanah ini," katanya.

Husam berkata tidak ada hukum yang menyatakan bahawa bai'ah itu salah dan beliau sendiri secara sukarela menerimanya kerana tidak mahu beralih arah ke parti lain.

Ketua Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR) Zuraida Kamaruddin bagaimanapun tidak bersetuju dengan tindakan Pas menggunakan bai'ah talak itu kerana menganggapnya seolah-olah memperkecilkan kedudukan wanita.

Katanya kaum wanita yang menjadi isteri kepada wakil rakyat Pas tidak sepatutnya dijadikan cagaran kerana ada antara mereka tidak terlibat dalam perjuangan parti itu.

"Bai'ah memperkecilkan kedudukan wanita, hakikatnya kita faham sekarang bahawa ada kaum perempuan dan isteri-isteri wakil rakyat yang tidak terlibat dengan perjuangan parti. Mengapa isteri yang menjadi sasaran," katanya.

Zuraida, yang juga Anggota Parlimen Ampang, berkata jalan lain boleh digunakan bagi memastikan tidak ada anggota politik mengkhianati parti dengan menyertai parti lawan. BERNAMA

Artikel Lain