suria

Lingam Tak Langgar Undang-undang Pengaruhi Pelantikan Hakim - Nazri

KUALA LUMPUR: Tiada sebarang tindakan diambil terhadap peguam Datuk V.K Lingam sehingga kini kerana beliau didapati tidak melanggar sebarang undang-undang kerana melobi pelantikan hakim walaupun beliau dipaparkan cuba berbuat demikian dalam satu klip video, Dewan Rakyat diberitahu semalam.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata kerajaan telah melihat kes berkenaan daripada pelbagai segi termasuk Akta Hasutan 1948, tetapi mendapati tiada mana-mana akta di negara ini yang boleh mensabitkan beliau melakukan salah guna kuasa dalam isu pelantikan hakim.

"Kita tidak nafi yang bercakap (dalam klip video) itu sebenarnya Lingam. Tetapi saya juga kata dalam dunia ini mungkin juga banyak 'conman'. Memang Lingam yang bercakap tetapi mungkin dia berlagak...saja hendak menunjuk.

"Tetapi masalahnya, kita (dapati) tiada kesalahan dalam mana-mana akta yang boleh mensabitkan beliau sehingga dihukum," katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2010 di peringkat dasar.

Penjelasannya itu menyebabkan suasana Dewan agak kecoh apabila diganggu beberapa wakil pembangkang yang mempertikaikan kenapa tiada tindakan dikenakan sedangkan sebuah suruhanjaya yang menyiasat klip video itu mencadangkan agar peguam itu dikenakan tindakan.

Semasa menjawab soalan Datuk Ibrahim Ali (Bebas-Pasir Mas) berhubung bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang menyuarakan rasa kesal dengan tindakan kerajaan menutup kes itu, Mohamed Nazri berkata tindakan yang diambil oleh kerajaan tidak berdasarkan kepentingan peribadi.

"Sekiranya Yang Berhormat mantan Perdana Menteri merasa dirinya dianiayai, disebut-sebut, saya percaya ada ruang lain di mana beliau boleh mengambil tindakan," katanya.

Mohamed Nazri menjelaskan bahawa sesiapa yang bertindak menasihati atau memberikan pandangan kepada Perdana Menteri tentang pelantikan hakim, tidak boleh dikatakan melakukan suatu kesalahan melainkan jika tindakan itu merupakan suatu konspirasi untuk memburukkan badan kehakiman, atau dibuat dengan tujuan untuk mendapatkan balasan atau faedah.

"Mengenai hal ini tidak menjadi sesuatu yang ganjil pandangan pelbagai individu dan organisasi diminta dan diambil kira dalam pelantikan hakimhakim kerana pada hakikatnya Perdana Menteri seorang diri tidak akan dapat membuat keputusan kerana tidak mengenali sendiri calon-calon hakim.

"Rundingan sebegini yang tidak melibatkan rasuah atau unsur-unsur lain yang disebutkan tadi bukanlah satu jenayah," katanya.

Mohamed Nazri berkata Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telahpun menjalankan siasatan lanjut terhadap individu-individu utama yang dikaitkan dalam rakaman klip video itu dan mendapati bahawa tiada kesalahan jenayah telah dilakukan berhubung dengan isu penyalahgunaan kuasa dalam pelantikan hakim.

Mengenai satu isu lain, beliau berkata, kerajaan akan terus mengkaji, meminda atau memansuhkan mana-mana peruntukan atau akta yang tidak lagi sesuai untuk dikuatkuasakan.

"Ia merupakan usaha yang berterusan yang dijalankan oleh Jabatan Peguam Negara untuk memastikan keberkesaan sistem perundangan negara dan untuk memodenkan undang-undang supaya sejajar dengan perubahan kehendak masyarakat," katanya.

Beliau berkata satu Memorandum Jemaah Menteri sedang disediakan berkenaan cadangan penubuhan Jawatankuasa Pembaharuan Undang-undang Malaysia yang akan dipengerusikan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong, dan melibatkan Bahagian Penyemakan dan Pembaharuan Undang-Undang di Jabatan Peguam Negara.

Mengenai cadangan supaya undang-undang Anti Diskriminasi digubal, Mohamed Nazri berkata, kerajaan belum bercadang untuk menggubal undang-undang berkenaan kerana belum ada keperluan berbuat demikian.

"Terdapat beberapa peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan yang menjamin kesamarataan dan perlindungan bagi semua orang di sisi undang-undang," katanya.

Mohammed Nazri juga berkata Perlembagaan Persekutuan tidak perlu dipinda bagi memperjelaskan maksud 'native' atau 'anak negeri' Sabah dan Sarawak kerana ia telah ditafsirkan dengan jelas.

Menyentuh isu rasuah dalam agensi-agensi kerajaan seperti yang didedahkan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2008, beliau berkata setakat ini SPRM telah membuka 41 fail siasatan yang melibatkan penyiasatan jenayah dan kelemahan pengurusan.

"Saya berharap semua pihak bersabar dan memberi peluang kepada SPRM untuk melaksanakan tugas mereka dengan lancar tanpa sebarang tekanan," katanya.

Beliau berkata kesungguhan SPRM untuk mengambil tindakan berhubung dengan pendedahan Laporan Ketua Audit Negara tidak perlu diragui.

Mohamed Nazri berkata ini terbukti apabila tahun lepas seramai 15 orang telah dituduh di mahkamah manakala 18 laporan tatatertib dan surat nasihat telah dikeluarkan kepada jabatan dan agensi yang berkaitan. BERNAMA

Artikel Lain