suria

Ketua Penerangan MCA kutuk penyamar hantar SMS

KUALA LUMPUR: Ketua Biro Penerangan dan Komunikasi (Infocom) MCA Senator Heng Seai Kie mengutuk penyamar yang mengaku sebagai anggota Infocom MCA dan menghantar SMS atas nama InfoCom MCA.

Beliau berkata penyamar berkenaan menghantar SMS menggesa semua perwakilan pusat menghadiri mesyuarat agung luar biasa haram pada 28 Nov dan bertujuan mencetuskan kekecohan dan kekeliruan "bagi mencapai agenda politik mereka sendiri".

"Infocom MCA tidak akan menggunakan namanya dengan menghantar mesej seumpama itu yang boleh menjejaskan imej parti," kata Timbalan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan dalam kenyataan di sini hari ini.

Heng berkata beliau sentiasa menyokong kepimpinan MCA dalam melaksanakan Pelan Perpaduan untuk menyatukan dan memperkukuhkan parti.

Katanya SMS itu telah mencemarkan nama dan integriti Infocom MCA dan berharap para perwakilan pusat tidak terperdaya dengan SMS.

"SMS kontroversi ini tersebar luas di kalangan semua perwakilan pusat dan saya amat sedih kerana penyamar ini menggunakan cara hina untuk memperdayakan anggota parti mereka sendiri.

"Dalam keadaan ini, saya cuba sebaik mungkin untuk memberikan penjelasan mengenai khabar angin ini bagi melindungi imej dan kewibawaan parti dan menghalang penyamar ini daripada mencapai objektif mereka," katanya. BERNAMA

Artikel Lain