suria

Kerajaan Laksana Infrastruktur Komunikasi Negara Yang Canggih

PUTRAJAYA: Datuk Seri Najib Tun Razak berkata kerajaan telah melaksanakan satu infrastruktur komunikasi negara yang canggih dengan menghubungkan 1.2 juta isi rumah dan premis perniagaan dengan menggunakan serat optik bagi membolehkan mereka disambungkan dengan internet berkelajuan tinggi antara 10 MBPs (megabait sesaat) hingga 1GBPs (gigabait sesaat).

Perdana Menteri semasa menyampaikan ucapan pembukaan di Mesyuarat Panel Penasihat Antarabangsa (IAP) di sini hari ini berkata jaringan jalur lebar berkelajuan tinggi itu akan menyediakan rakyat, perniagaan dan agensi kerajaan dengan satu daya tolak yang kompetitif melalui kelebihan komunikasi. Sekaligus, katanya beliau merintis satu pendekatan yang mesra, berpaksikan rakyat melalui penggunaan ICT.

"Laman web 1Malaysia saya membolehkan rakyat Malaysia berinteraksi secara langsung dengan saya melalui internet. Ia bukannya satu tapak yang pasif tetapi berinteraktif sepenuhnya, di mana para pembaca boleh bukan sahaja mendengar pemikiran saya malah boleh juga mengemukakan cadangan secara langsung kepada saya secara online," katanya.

Semasa menjelaskan perkara itu, Najib berkata satu jemputan terbuka bagi mendapatkan cadangan mengenai bajet kerajaan baru-baru ini telah menarik lebih 400 respons dari orang ramai.

Sambutan hangat itu, katanya diikuti dengan jemputan untuk membuat ulasan mengenai paska bajet dari orang ramai dan menerima lebih 500 respons dari orang ramai yang akan dipertimbangkan pada tahun lepas.

Perdana Menteri berkata Malaysia telah mencapai prestasi baik di masa lepas dengan mengembangkan asas perindustrian sambil mengembangkan sektor pertaniannya.

Pada masa yang sama, katanya mereka telah memupuk satu industri minyak dan gas yang kukuh.

"Fokus terdahulu kita mengenai usaha menarik pelaburan asing sebagai pengeluar berkos rendah telah menimbulkan dilema kerana kemajuan perindustrian kita tidak selari dengan peneraju global dan kita terus mundur di dalam hubungan ini.

"Kita memerlukan satu paradigma untuk bukan sahaja membantu kita mengejar kita agar seiringan dengan negara-negara maju," katanya.

Najib juga berkata MSC Malaysia telah memasuki fasa ketiga pembangunan dan mengembangkan Wawasan ICT negara ini bagi industri dan masyarakat.

"Fasa seterusnya MSC Malaysia ialah untuk membina kejayaan yang dicapai dan mempercepatkan penggunaan ICT bagi meningkatkan pertumbuhan ekonomi negara ini dan kesejahteraan masyarakat." katanya. BERNAMA

Artikel Lain