suria

Kenaikan Elaun Anggota Pentadbiran Dan Wakil Rakyat Tidak Benar

KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz menafikan laporan bahawa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan mengemukakan cadangan kepada kerajaan supaya elaun menteri, timbalan menteri dan wakil rakyat dinaikkan.

Beliau yang mengakui dihubungi pegawai SPRM pagi tadi memberitahu bahawa SPRM tidak membuat sebarang kenyataan berhubung perkara itu seperti yang dilaporkan sebuah akhbar tempatan berbahasa Inggeris hari ini.

"Saya tidak tahu mengenai ini, SPRM memanggil saya pagi tadi dan menafikan semua ini, mereka tidak membuat sebarang kenyataan dan mana-mana seperti itu dan ini belum muktamad," katanya yang ditemui pemberita di Lobi Parlimen di sini hari ini.

Berdasarkan laporan akhbar tersebut yang mendapat maklumat daripada sumber pegawai kanan kerajaan, langkah SPRM itu bertujuan untuk mengelakkan daripada salah guna kuasa dan rasuah di kalangan pemimpin kerajaan dan wakil rakyat.

Bagi Mohamed Nazri, beliau menganggap cadangan itu tidak sesuai dilaksanakan ketika negara berdepan dengan situasi ekonomi yang tidak menentu. BERNAMA

Artikel Lain