suria

“KATAPAW...”

Pasukan bomba memadamkan api mercun ketika penyokong Kelantan berang pasukannya kalah kepada Negeri Sembilan, 3-1 pada perlawanan akhir Piala Malaysia di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 7 November 2009. -Foto BERNAMA
Pasukan bomba memadamkan api mercun ketika penyokong Kelantan berang pasukannya kalah kepada Negeri Sembilan, 3-1 pada perlawanan akhir Piala Malaysia di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 7 November 2009. -Foto BERNAMA
Pasukan bomba memadamkan api mercun ketika penyokong Kelantan berang pasukannya kalah kepada Negeri Sembilan, 3-1 pada perlawanan akhir Piala Malaysia di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 7 November 2009. -Foto BERNAMA

‘KATAPAW...” begitulah lebih kurang bunyi percikan dari air botol yang terpancul keluar sebaik sahaja botol air mineral itu menerjah ke belakang kepala pemain bolasepak Negeri Sembilan yang sedang bersiap sedia untuk mengambil sepakan sudut pada aksi perlawanan akhir Piala Malaysia melawan Kelantan di Stadium Bukit Jalil Sabtu lalu.

Pemandangan ini sebenarnya sangat aneh. Pertama ia berlaku hanya pada pertandingan siri Piala Malaysia dan kedua ia berlaku di hadapan para anggota FRU yang tegap berdiri mengadap penonton. Tetapi yang paling aneh ialah, ketika botol air mineral dan pelbagai macam ‘peluru scud’ menghujani pemain-pemain bolasepak di tepi padang, aksi seronok mereka hanya diperhatikan oleh anggota keselamatan.

(Nota: Pihak polis (FRU) hanya mula bertindak setelah keadaan menjadi semakin tidak terkawal di mana penyokong-penyokong Kelantan mula membakar kerusi dan melontar mercun ke arah mereka).

Semasa perlawanan itu berlangsung, Stadium Nasional dipenuhi hampir 80 peratus penyokong Kelantan manakala penyokong-penyokong Negeri Sembilan atau 'Kijang' hanya sekitar 15,000 orang.

Apabila Negeri Sembilan mendahului 3-0 selepas sepakan penalti penyerang Mohd Zaquan Adha pada minit ke-58, penyokong-penyokong Kelantan membaling pelbagai objek, mercun dan paling teruk membakar kain rentang serta kerusi di satu bahagian stadium itu. Tetapi sebenarnya, serangan objek ke atas pemain Negeri Sembilan telahpun berlaku seawal 10 minit perlawanan bermula.

Walaupun benar, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Muhammad Sabtu Osman menegaskan pihak polis telah merakam gambar aksi-aksi seronok sebahagian besarnya penyokong Kelantan melayangi pelbagai objek ke arah pemain untuk mereka ambil tindakan undang-undang tetapi pihak polis dan berkuasa stadium perlu mencari satu kaedah bagaimana adegan seperti ini boleh dihalang daripada berlaku pada masa akan datang.

Banyak sebab kenapa ia perlu dihalang. Pertama, ia adalah satu bentuk keganasan yang tidak wajar dikaitkan dengan sukan. Sukan sepatutnya menganjurkan keharmonian, semangat muhibah dan keamanan bukannya keganasan.

Bolasepak sepatutnya menjadi sukan bersantai. Tempat di mana bapa membawa isteri dan anak-anak menyaksikan perlawanan; atuk membawa cucu, si lelaki membawa kekasih berlibur sambil bersorak. Tetapi aksi liar seperti mana yang berlaku di Stadium Bukit Jalil Sabtu lalu akan memusnahkan sukan bolasepak di Malaysia.

Kedua, aksi liar itu hanya akan menakutkan ibu-bapa untuk membawa anak-anak apatah lagi anak perempuan ke stadium untuk bersantai sambil menyaksikan perlawanan yang menghiburkan.

Malah jika penonton di platform atas mengganas dengan melemparkan mercun dan bunga api ke arah tempat duduk lawan sehingga boleh mendatangkan kecederaan akhirnya siapa yang nak bawa anak-anak ke stadium. Siapa yang sanggup membahayakan nyawa kekasih di stadium dan atuk mana yang mampu melindungi cucunya daripada menjadi mangsa keganasan hooligan u’u a’a (sila sebut macam monyet sedang mengamuk) ini.

Trend ini sungguh membimbangkan sehingga mendorong deejay dan pengacara terkenal yang jarang masuk stadium tengok bola atau ulas bola seperti Aznil Nawawi membuat komen khas dalam kolumnya di sebuah akhbar tempatan selepas perlawanan akhir Piala Malaysia itu. Malah menurut Aznil, insiden yang sama telah berlaku ketika Kelantan bertarung di peringkat separuh akhir lagi.

Kalau Aznil boleh menyedari perkara ini maka tak mungkin pihak berkuasa atau berwajib tak tahu. Jadi tak kanlah tiada langkah berjaga-jaga dilakukan untuk membendung keganasan ini daripada terus berlaku.

Tapi nampaknya macam semua orang leka atau buat tak kisah dan akhirnya kerosakan yang dialami Stadium Nasional di Bukit Jalil akibat tindakan liar penyokong Kelantan semasa perlawanan akhir bola sepak Piala Malaysia Sabtu lepas dianggarkan bernilai RM214,000, kata Menteri Belia dan Sukan Datuk Ahmad Shabery Cheek.

Katanya jumlah kerosakan itu dinilai oleh Perbadanan Stadium Bukit Jalil dan ia memerlukan kos untuk membaikpulih stadium berkenaan.

Dahsyat tak dahsyat, mereka bukan sekadar membaling objek ke arah pemain lawan malah melakukan kerosakan ke atas 224 buah kerusi stadium bernilai RM112,000; mereka juga merosakkan tiga lorong trek bernilai RM60,000; pintu pagar untuk Orang Kurang Upaya (OKU) yang tidak ada kena mengena dengan Kelantan dan Negeri Sembilan itu pun turut dimusnahkan dan juga mereka memusnahkan pintu pagar dan tandas.

Malah Pak Menteri pun turut mengingatkan pihak berkuasa dan penganjur mencari jalan bagaimanakah caranya untuk menghalang kejadian yang serupa daripada berulang.

"Duit yang digunakan untuk membina Stadium Nasional adalah duit rakyat. Kalau kita kena baiki, duit ini datangnya daripada duit rakyat,” ujarnya.

Dan apabila Ahmad Shabery mengucapkan tahniah kepada penyokong Kelantan kerana telah mengamatkan stadium ketika beliau menjawab soalan tambahan pada sesi soal jawab dalam sidang Dewan Rakyat pada hari Selasa (10 November) adalah tidak pasti sama ada beliau menyindir mereka atau benar-benar ikhlas mengucapkan tahniah.

Tetapi kepada cadangan Datuk Ibrahim Ali (Bebas-Pasir Mas) agar diwujudkan undang-undang khas bagi mengawal tingkah laku penonton bola sepak, Ahmad Shabery berkata kementerian akan mengkaji keperluan peraturan tersebut. Jawapan itu ada sedikit melegakan kerana kalau penonton dah tak boleh nak kawal diri nampaknya pihak berkuasa terpaksa mengambil alih peranan mengawal selia.

Ibrahim ketika mencelah berkata kerajaan perlu serius untuk mewujudkan undang-undang yang dikenali sebagai Akta Penonton Bola Sepak agar penonton tetap bersemangat tetapi pada masa yang sama menunjukkan sikap kesukanan yang tinggi.

"Sukan pun ada kena-mengena dengan penonton. Dalam bola sepak ini, memang banyak kejadian seperti ini berlaku. Kita kena cegah cepat sebelum jadi seperti di Amerika Latin dan Perancis di mana kejadian sedemikian telah melibatkan kematian akibat peminat bola sepak yang ghairah," katanya.

Jika sesuatu tidak dilakukan akhirnya stadium akan menjadi tempat hooligan melepaskan geram. Stadium musnah, sukan musnah, reputasi musnah segala-galanya KATAPAW!

NOTA KAKI: PADA 11 NOVEMBER, FAM TELAH MENJATUHKAN HUKUMAN DENDA RM50,000 TERHADAP PERSATUAN BOLASEPAK NEGERI KELANTAN BERIKUTAN KELAKUAN TIDAK SENONOH PENYOKONGNYA SEMASA PERLAWANAN AKHIR PIALA MALAYSIA.- PENGARANG

Artikel Lain