suria

Elis Dapat Hak Jagaan Anak Yang Dilarikan Suami Warga Belanda

SHAH ALAM: Hasrat Elis Syuhaila Mokhtar untuk memegang dan memeluk anak lelakinya yang berusia lima tahun masih tidak kesampaian walaupun Mahkamah Tinggi Syariah di sini hari ini memberikan beliau hak penjagaan bagi kanakkanak itu yang dilarikan suami wanita itu ke Belgium.

Ini kerana sehingga kini Elis, 34, seorang bekas pensyarah, masih gagal menjejaki anaknya, Ferris Mokhtar Van De Ven sejak dilarikan suaminya, Frank Theodorus Van De Ven@ Firdaus, 40, seorang warga negara Belanda pada 5 Mac lepas.

"Tiada ertinya saya dapat hak jagaan anak kerana saya tidak dapat peluk dia. Sudah sembilan bulan saya tidak jumpa dan dengar suaranya. Ternyata jauh lagi saya nak pergi (walaupun mahkamah dah buat keputusan) dan saya benarbenar memohon agar kerajaan dan Wisma Putra tolonglah saya, usahakanlah sesuatu untuk dapatkan Ferris semula.

"Ferris anak Malaysia, dilahirkan di Malaysia dan saya tidak mahu dia dibesarkan oleh bapanya tanpa mengikut ajaran Islam. Selama ini saya mematuhi undangundang tetapi akhirnya suami pula larikan anak saya. Ferris, pulanglah kepada ummi, ummi amat rindukan Ferris," katanya ketika ditemui pemberita di luar mahkamah.

Kesedihan Elis yang ditemani ibunya, Normah Nordin, 57, dan kakaknya, Nini Naf Aizah Mokhtar, 40, turut dirasai pemberita apabila beliau menunjukkan beberapa keping gambar Ferris, mainan kegemarannya serta pasport Malaysia dan pasport Belanda milik Ferris yang berada dalam jagaannya.

Terdahulu, Hakim Syarie Abu Zaky Mohamad membuat keputusan itu tanpa kehadiran Firdaus, seorang pengaturcara komputer selepas berpuas hati dengan keterangan dan sumpah istizhar Elis yang kini menjalankan perniagaan sendiri.

Mahkamah juga memberi Firdaus hak melawat Ferris di rumah Elis di bawah pengawasan wanita itu dan mengeluarkan perintah kepada Wisma Putra untuk menjejaki Ferris serta membawa pulang anak itu ke negara ini.

Abu Zaky berkata mahkamah memutuskan sedemikian kerana ibu adalah individu yang paling berhak, layak dan sesuai menjaga anak yang masih kecil.

Beliau berkata mahkamah juga menerima beberapa keping gambar yang dikemukakan oleh Elis semasa perbicaraan sebelum ini, seperti gambar Firdaus bersama wanita yang bukan muhrimnya dan keterangan Elis bahawa Firdaus tidak menjalankan cara hidup Islam serta kebimbangan beliau terhadap akidah Ferris sekiranya dia diletakkan di bawah jagaan bapanya.

"Mahkamah juga ingin memberi teguran, dalam perkara mencari pasangan hidup, carilah pasangan berasaskan kepada empat perkara iaitu agama, kecantikan, harta dan keturunan. Tetapi sebaikbaiknya pilihlah yang beragama, dan bila tidak ikut sebab itulah banyak masalah timbul," katanya.

Sebelum ini, Firdaus telah memfailkan permohonan untuk mendapatkan hak penjagaan Ferris apabila dia dan Elis dalam proses untuk bercerai selepas mendirikan rumah tangga pada 2001.

Pada awal Februari lepas, Abu Zaky memerintahkan supaya Ferris dijaga secara bergilir-gilir oleh Elis dan Firdaus sebelum hak penjagaan kekal anak itu diputuskan oleh mahkamah.

Bagaimanapun pada 25 Mac lepas, mahkamah dimaklumkan bahawa Firdaus telah mengingkari perintah mahkamah selepas tidak menyerahkan semula Ferris kepada Elis.

Berikutan itu, mahkamah mengeluarkan waran tangkap terhadap Firdaus dan meminta kerjasama Jabatan Imigresen, Interpol dan pihak berkuasa lain supaya Firdaus ditahan dan dilarang keluar dari Malaysia.

Lelaki itu bagaimanpun bertindak meninggalkan Malaysia dengan membawa bersama Ferris ke Belgium melalui Rantau Panjang, Kelantan pada 5 Mac lepas.

Pada 8 Sept lepas, Firdaus telah menghubungi Biro Aduan Komuniti Pemuda Umno di Kuala Lumpur dan memaklumkan bahawa dia tidak akan menyerahkan Ferris. BERNAMA

Artikel Lain