suria

Dr Asri jangan cebur diri dalam politik - Zulkifli Noordin

KUALA LUMPUR: Anggota Parlimen Kulim, Bandar Baharu Zulkifli Noordin meminta bekas Mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin supaya tidak menyertai sebarang parti politik untuk menyebarkan dakwah.

Anggota Parlimen dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu berkata beliau yakin bahawa Dr Mohd Asri tidak akan menghadapi halangan dalam menyebarkan dakwah keagamaan ekoran kedudukannya yang diterima ramai sama ada kerajaan mahupun pembangkang.

"Saya berpendapat bahawa Dr Asri ini sudah sampai ke peringkat melangkaui politik partisan. Kedudukan dia diterima oleh masyarakat dari semua peringkat. Saya kira lebih sesuai Dr Asri main peranan sebagai ulamak nonpartisan.

"Dakwah dia itu akan lebih efektif kalau dia kekal dalam kedudukan sekarang (tidak berparti)..sebab dalam politik ini banyak kompromi, banyak konsesi dan dia lebih sesuai dalam keadaan sekarang," katanya kepada Bernama di lobi Parlimen di sini semalam.

Semalam, Dr Mohd Asri dilaporkan berkata bahawa beliau sedia menyertai politik sebagai jalan terakhir jika usahanya untuk menyebarkan dakwah melalui ceramah agama berdepan dengan halangan. BERNAMA

Artikel Lain