suria

Baiah PAS Sudah Lama Berlaku - MB Pahang

KUANTAN: Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob berkata, amalan baiah atau akujanji di kalangan wakil rakyat PAS bahawa akan jatuh talak tiga kepada isteri masing-masing jika mereka keluar parti, bukanlah perkara baru, sebaliknya sudah lama berlaku.

Menurut Adnan, perkara itu diketahuinya sejak dua penggal pilihan raya umum yang lepas menerusi beberapa kenalannya daripada parti PAS yang menjadi wakil rakyat.

"Perkara ini perkara lama, terpulanglah kepada rakyat menilainya. Baiah itu meletakkan isteri sama dengan kerjaya politik, itulah rendahnya martabat wanita di kalangan kepimpinan PAS," katanya kepada pemberita selepas merasmikan pameran Petrosains Dino-Trek 2, di sini, hari ini.

Adnan secara sinis berkata, kepimpinan PAS tidak perlu risau wakil rakyat mereka akan keluar parti itu kerana mereka amat menyayangi isteri mereka.

"Saya pernah memujuk mereka (wakil rakyat terbabit) sertai Barisan Nasional, mereka kata tak boleh, kalau mereka keluar parti akan jatuh talak tiga, isteri mereka kena berkahwin dengan orang lain dulu sebelum dapat bersama semula dengan mereka," katanya.

Adnan bagaimanapun tidak mendedahkan butiran terperinci berkenaan baiah yang diketahuinya itu: "Bukan wakil rakyat PAS di Pahang, tapi di negeri lain," katanya.

Pada Khamis lepas, Anggota Parlimen Shah Alam dari PAS, Khalid Samad mengesahkan wujudnya amalan baiah di kalangan calon wakil rakyat parti itu bahawa akan jatuh talak tiga kepada isteri masing-masing jika mereka keluar parti.

Bagaimanapun Pas Pusat yang mengakui amalan konsep baiah itu menafikan berlakunya arahan cerai talak tiga jika wakil rakyatnya keluar parti.

Pameran Petrosains Dino-Trek 2 yang berobjektif memupuk proses pemikiran secara kritikal bagi menerokai zaman prasejarah dan dinosaur akan berlangsung sehingga 30 Jun 2010 di Kompleks Yayasan Pahang.

Pameran itu memaparkan ciri-ciri unik termasuk 9 dinosaur animatronik, baha-nbahan pameran dinosaur seperti Spinosaurus dan Tyrannosaurus Rex. BERNAMA

Artikel Lain