suria

Anak Presiden CAP Didakwa Tuduhan Menipu

PULAU PINANG: Anak Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) S.M. Mohamed Idris hari ini dihadapkan di dua Mahkamah Sesyen berbeza atas tiga tuduhan menipu berkaitan pembelian rumah di Kuah, Langkawi melibatkan RM271,000.

Tertuduh Mohammed Ali, 52, seorang peniaga didakwa melakukan kesemua kesalahan itu di Hago Enterprise Sdn Bhd, Lebuh Bishop.

Bagi kesalahan pertama Mohammed Ali didakwa menipu Ashfak Ahmad Alarakha antara 17 September dan 6 November 1991, untuk membeli rumah di nombor 30, Taman Mahsuri, Langkawi, yang mendorong mangsa mengeluarkan dua keping cek Lee Wah Bank bernilai RM105,000.

Kesalahan kedua tertuduh melakukan penipuan terhadap Mohamad Aslam Sher Mohamed antara 15 Ogos 1990 dan 16 Oktober 1992, bagi pembelian rumah di Lot 14, Taman Mahsuri, Langkawi yang mendorong mangsa mengeluarkan cek dan wang tunai berjumlah RM71,000.

Hakim Rosilah Yop menetapkan tertuduh dijamin RM10,000 bagi kes pertama dan RM8,000 bagi kes kedua dengan seorang penjamin.

Sementara itu bagi tuduhan ketiga Mohammed Ali didakwa menipu Tufail Ahmad Alarakha pada 25 Mac 1992, bagi pembelian rumah di nombor 28, Taman Mahsuri, Langkawi yang mendorong mangsa membayar secara tunai RM95,000.

Pertuduhan ketiga didengar di hadapan Hakim Roslan Hamid.

Hakim memerintahkan tertuduh diikat jamin RM7,000 dengan seorang penjamin.

Bagi semua kesalahan itu tertuduh didakwa di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara tidak lebih 10 tahun, sebat serta denda.

Hakim menetapkan tarikh yang sama iaitu 24 November ini untuk sebutan semula kes. Mohammed Ali diwakili peguam Ashok Athimulan dan pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya G. Jayaprem. BERNAMA

Artikel Lain