suria

Pihak Ketiga Keruhkan Hubungan Malaysia Dan Indonesia, Kata Anifah

KUALA LUMPUR: Kerajaan akui wujudnya pihak ketiga yang mengeruhkan hubungan baik antara Malaysia dan Indonesia bertujuan untuk meraih kepentingan politik dan mempromosi agenda tertentu.

Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman berkata menyedari perkara itu, kerajaan keduadua negara kini sentiasa memantau pergerakan mereka.

"Pihak ketiga ini cuba memperbesar isu kecil ini untuk politik mereka, mempromosi agenda berkenaan. Kita mengetahui langkah yang diambil dan sentiasa memantau dan mengambil tindakan tertentu.

"Negara jiran (Indonesia) juga maklum mengenai kewujudan organisasi ini yang cuba "menangguk di air keruh" dan kita akan gunakan kebijaksanaan antara kedua-dua negara untuk pantau anasir seumpama ini," katanya ketika menjawab soalan tambahan Datuk Idris Haron (BN-Batu Tangga) pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Idris dalam soalannya ingin tahu sama ada wujud kebarangkalian pihak tertentu dalam negara yang cuba merosakkan hubungan harmoni antara Malaysia dan Indonesia dengan menimbulkan pelbagai isu antaranya tarian pendet, sempadan maritim (Ambalat), pembantu rumah asing dan isu Manohara (bekas isteri kerabat Diraja Kelantan).

Semasa menjawab soalan asal Idris yang ingin mengetahui langkah kementerian dalam menangani dan menggelakkan konflik sesama negara jiran serantau serta mekanisme penyelesaian konflik yang sesuai, Anifah berkata Kumpulan Pakar Perundangan Peringkat Tinggi Asean sedang memuktamadkan draf Protokol Mekanisme Penyelesaian Pertikaian yang merangkumi empat mekanisme penyelesaian konflik.

"Empat mekanisme itu ialah timbang tara, jasa baik, perdamaian dan perantaraan yang dimantapkan bersama peraturan Timbang Tara, Peraturan Jasa Baik, Peraturan Perdamaian dan Peraturan Perantaraan.

"Protokol ini bersama peraturannya yang berkaitan akan dimuktamadkan menjelang akhir tahun 2009.

"Dengan ratifikasi protokol ini, Asean akan mempunyai mekanisme penyelesaian konflik yang tersendiri yang bersifat Asean dan memantapkan status Asean sebagai organisasi berasas peraturan, mekanisme penyelesaian konflik yang penting dalam usaha memelihara dan memperkukuh hubungan dua hala dan pelbagai hala di kalangan negara anggota Asean," katanya.

Kepada soalan Datuk Ibrahim Ali (BEBAS-Pasir Mas) mengenai cadangan Malaysia supaya Thailand mempertimbangkan kuasa autonomi bagi wilayah di Selatan Thailand, Anifah berkata Malaysia menghormati prinsip dan dasar berkecuali yang diamalkan Asean dan akan memberi cadangan sekiranya diminta negara jiran berkenaan.

Beliau berkata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bersama Perdana Menteri Thailand Abhisit Vejjajiva dijadual mengadakan lawatan bersama ke wilayah bergolak merangkumi Pattani, Narathiwat dan Yala Disember ini.

"Perdana Menteri kita dijemput oleh Perdana Menteri Thailand ke Selatan Thailand dan bertemu pemimpin di wilayah bergolak berkenaan...Kita tunggu lawatan Perdana Menteri ke sana dan perbincangan selanjutnya," katanya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain