suria

Pasukan Khas SPRM Beri Panduan Jelas Kepada Wakil Rakyat: Najib

PUTRAJAYA: Datuk Seri Najib Tun Razak berkata penubuhan pasukan khas oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) adalah bagi memberi garis panduan yang jelas kepada semua Anggota Parlimen dan Anggota Dewan Undangan Negeri tentang apa yang boleh dan tidak boleh mereka lakukan.

Perdana Menteri berkata penubuhan pasukan itu juga bagi membolehkan SPRM mengetahui bentuk keperluan mereka sebagai wakil rakyat.

"Sebab sebagai ahli Parlimen, mereka dituntut untuk menyelesaikan pelbagai masalah dan tuntutan rakyat seperti bayaran sekolah, bayaran kesihatan, kenduri-kendara, masalah kesihatan dan pelbagai lagi.

"Tuntutan seperti ini menjadikan mereka terpaksa kadang-kadang melihat bagaimana peruntukan kerajaan boleh digunakan atau tidak boleh digunakan. Ini adalah sesuatu yang perlu diperjelaskan oleh SPRM kepada mereka," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Pelaksanaan MSC Malaysia di Pusat Konvesyen Antarabangsa Putrajaya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai penubuhan pasukan khas SPRM itu bagi memantau dan mengatasi kegiatan penyelewengan peruntukan Anggota Parlimen dan ADUN daripada terus berlaku.

Pasukan khas itu yang dikendalikan oleh Bahagian Pemeriksaan dan Perundingan akan menjalankan kajian menyeluruh berhubung peraturan, sistem, prosedur serta kawalan dalaman dalam perbelanjaan peruntukan wakil rakyat.

Mengenai Pas yang menolak musyawarah dengan Umno berhubung penyatuan Melayu, Najib berkata itu terpulang kepada mereka.

"Apa-apa yang kita nak buat itu mesti berlandaskan atas apa yang dilihat baik dari segi agama dan juga untuk kebaikan rakyat.

"Jika kita lihat daripada itu, sudut agama dan kehendak rakyat, maka apa-apa usaha yang boleh mengurangkan perbalahan sesama kita itu, adalah baik, itu saja saya kata. Jika mereka tak mahu, itu terpulang kepada mereka," katanya.

Mengenai pakatan pembangkang yang ingin mendaftar sebagai sebuah parti, Najib berkata itu terpulang kepada mereka.

"Terpulang kepada mereka kerana kita tidak boleh tetapkan aap yang mereka hendak buat. Kita hanya boleh tetapkan apa yang kita hendak buat," kata Perdana Menteri.

Beliau berkata bahawa pembangkang telah bekerjasama sejak pilihan raya umum yang lepas walaupun nampaknya mereka berdepan dengan masalah perbezaan yang serius.

Pas, DAP dan Parti Keadilan Rakyat dilaporkan telah mengemukakan permohonan kepada Pendaftar Pertubuhan untuk membentuk sebuah parti gabungan. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain