suria

Kikis Tanggapan Negatif Terhadap Blog Anti Kerajaan

KUALA LUMPUR: Tanggapan negatif terhadap blog sehingga dianggap sebagai musuh kepada kerajaan perlu dikikis kerana melaluinya juga pelbagai maklumat boleh diperolehi.

Pemilik blog 'Kuda Ranggi', Syed Imran Al-Sagoff berkata, blog juga menjadi sumber maklumat yang berguna kepada kerajaan terutamanya melalui maklum balas mengenai sesuatu isu.

"Kalau boleh janganlah anggap blog ini sebagai satu saingan ataupun musuh kerana kadang-kadang melalui blog kita boleh mendapat yang cukup baik terutamanya kepada Jabatan Penerangan.

"Kita boleh mendapat banyak maklumat dari blog, tapi jangan cari maklumat yang salah," katanya di majlis Dialog Penerangan yang bertajuk 'Antara Penulis Blog dan Berita - Suatu Pembohongan atau Realiti' di sini hari.

Majlis berkenaan dihadiri oleh kira-kira 100 pegawai perhubungan awam dari unit komunikasi korporat kementerian dan jabatan kerajaan.

Bagaimanapun jelasnya, pembaca harus bijak untuk menilai sama ada sesuatu tulisan yang disiarkan itu mengandungi unsur pembohongan ataupun tidak terutamanya blog-blog politik.

"Blog yang banyak pembohongan ialah blog politik, yang menyentuh mengenai politik.

"Tidak seperti blog-blog khusus seperti masakan, percutian, sukan atau apa sahaja tentang bidang-bidang tertentu," katanya.

Bekas wartawan Bernama itu juga mengakui bahawa penulis blog-blog politik banyak menyebarkan fitnah dan menjatuhkan maruah melalui penulisan mereka.

"Blog-blog inilah menulis dan menyebarkan fitnah, menghasut dan menjatuhkan maruah... ini semua dari segi politik.

"Tapi blogger yang berlatar belakangkan kewartawanan agak berbeza sedikit, sebab mereka tahu (etika)," katanya.

Katanya lagi, blog kini mula menjadi tumpuan umum termasuk ahli politik untuk menyampaikan sesuatu maklumat dan juga pandangan.

"Sekarang ini hampir semua parti politik ada blog, hampir semua ahli politik yang dulu mengecam blog kini ada blog masing-masing.

"Ini kerana sudah timbul kesedaran bahawa blog merupakan satu wadah yang boleh mempengaruhi orang ramai," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain