suria

Tiada parti alternatif yang boleh tandingi BN, kata PM

KOTA KINABALU: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak malam semalam berkata bahawa tiada parti alternatif yang boleh menandingi Barisan Nasional (BN) di Sabah terutama dalam soal pembangunan.

Beliau berkata cuma BN sahaja yang boleh membangunkan negeri ini ke tahap yang lebih tinggi.

"Apa yang diperlukan ialah sokongan rakyat terhadap BN di Sabah. Kami akan buat perbezaan. BN komited untuk membangunkan Sabah dan kami akan melaksanakannya," katanya ketika merasmikan kongres ke-24 Parti Bersatu Sabah (PBs) di sini.

Najib bagaimanapun mengingatkan komponen parti BN supaya mengelakkan sebarang perselisihan sesama sendiri yang boleh menjejaskan BN.

"Janganlah kita bergaduh sesama sendiri kerana kita satu keluarga," katanya.

Najib berkata keyakinan rakyat terhadap kerajaan yang memberangsangkan di negeri ini akan mengukuhkan Sabah sebagai "simpanan tetap" untuk BN.

"Kalau simpanan tetap ini kekal...insya-Allah pulangannya bertambah, dan saya melihat perkembangan politik mutakhir di negeri ini lebih meyakinkan saya bahawa Sabah adalah negeri yang selamat bagi BN," katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata BN Sabah tidak boleh bersikap selesa dengan kedudukan itu kerana tadbir urus kerajaan sekarang tidak lagi seperti biasa.

"Ia tidak boleh jadi seperti biasa. Kita harap rakyat di Sabah dan Sarawak memahami keadaan ini yang mana rakyat kini semakin hari semakin terdidik dan jangkaan mereka semakin tinggi terhadap BN yang memegang tampuk pemerintahan," katanya.

Najib berkata keputusan pilihan raya umum 2008 seharusnya menjadi iktibar untuk BN berusaha mengembalikan kekuatan parti.

"Mungkin Sabah tidak terkena tsunami politik (pilihan raya 2008). Sabah mungkin sekadar terkena tempias sahaja. Tetapi di Semenanjung kami dihempap dan dipukul badai tsunami, dan oleh itu kita perlu menyedari mesej rakyat kepada kita," katanya.

Najib berkata rakyat kini bijak menilai dan mahukan kerajaan yang benarbenar memenuhi jangkaan dan kehendak mereka.

"Rakyat mahu kerajaan yang sentiasa peka dan sensitif kepada kehendak rakyat dan kita seharusnya menyahut cabaran ini, dan kita perlukan keazaman politik yang baru bertindak sebagai satu pasukan.

"Untuk itu, kita perlu melakukan perubahan demi perubahan terutama daripada segi dasar dan tindakan yang membawa keberhasilan yang bermakna, dan sebagai permulaan kita perkenalkan slogan 1Malaysia untuk mengukuhkan perpaduan pelbagai kaum di negara ini," katanya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain