PM: Peruntukan besar untuk luar bandar Sabah, Sarawak dalam RMK10 - Semasa | mStar

PM: Peruntukan besar untuk luar bandar Sabah, Sarawak dalam RMK10

KOTA KINABALU: Rakyat luar bandar di Sabah dan Sarawak akan diberikan perhatian dan peruntukan besar dalam Rancangan Malaysia Ke-10, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak malam semalam.

Beliau berkata makmal Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) yang berkaitan dengan pembangunan luar bandar sedang gigih mengenalpasti keperluan rakyat, terutama di Sabah dan Sarawak, bagi program transformasi kerajaan.

"Saya pilih menteri mesti datang dari Sabah atau Sarawak kerana ini (pembangunan luar bandar) adalah agenda untuk Sabah dan Sarawak. Apabila kita buat kerja, kita mesti tentukan setiap kampung apa keperluannya di Sabah dan ini telah dibuat oleh makmal NKRA yang bekerja tak kira waktu.

"NKRA untuk masyarakat luar bandar, sebahagian besar daripada peruntukannya akan diberikan kepada Sabah dan Sarawak," katanya pada Majlis Perasmian Perhimpunan Agung Tahunan Parti Bersatu Sabah (PBs) kali Ke-24 di sini.

Beliau juga berkata rakyat luar bandar di Sabah dan Sarawak juga semakin menyedari keperluan mereka dalam arus pembangunan negara.

Oleh itu, beliau meminta rakyat terus menyuarakan masalah dan keperluan mereka agar kerajaan akan terus mengambil langkah-langkah untuk memberikan keselesaan kepada rakyat.

"Maklum balas daripada rakyat Sabah semakin hari, semakin baik. Kita nak perkara ini diteruskan. Jangan bimbang, kalau peruntukan tak cukup, kita tambah lagi, insya-Allah," katanya.

Bagaimanapun, Najib berkata terdapat beberapa keperluan rakyat di Sabah yang boleh diatasi sekiranya mendapat kerelaan rakyat untuk dibantu.

Menurutnya masalah bekalan elektrik di kawasan Pantai Timur negeri ini sepatutnya dapat diselesaikan dengan cepat, tetapi mengambil masa yang lama berikutan rakyat tidak mahu berkorban untuk kebaikan dan kebajikan mereka.

"Rakyat nak elektrik, tetapi tak nak janakuasa. Kerajaan negeri cadangkan beberapa tempat, tetapi semuanya ditolak. Dua tahun terbuang untuk menyelesaikan masalah ini. Jadi, apabila saya menjadi Perdana Menteri, saya terpaksa membuat keputusan untuk memberikan tanah di kawasan Felda di Lahad Datu untuk pembinaan janakuasa.

"Rakyat mesti memahami keperluan mereka dan mesti membuat sedikit pengorbanan untuk negara. Kita mesti berkorban. Kita mesti bertolak ansur dalam hal ini. Dengan itu kita boleh mencapai pembangunan yang lebih tinggi untuk Sabah," katanya.

Perdana Menteri juga berkata kerajaan komited dalam menyelesaikan masalah pendatang asing tanpa izin (PATI) di Sabah, tetapi memerlukan kerjasama semua pihak, termasuk majikan.

Sementara itu, Najib berkata Sabah mampu menjadi negeri maju sekiranya kekayaan sumber di negeri ini digunakan sebaiknya, terutamanya dalam bidang pelancongan.

"Sabah adalah wadah kepada Malaysia. Sabah menjadi destinasi kegemaran ramai pelancong dalam dan luar negera. Semuanya memuji keindahan Sabah dan cara hidup di Sabah," katanya.

Beliau juga berkata keunikan cara hidup masyarakat di Sabah merupakan antara tarikan pelancong ke negeri ini dan juga contoh terbaik dalam mempromosikan perpaduan melalui konsep 1Malaysia.

"Selalu berlaku, jurang antara penduduk di Sabah sangat kabur. Kita tak dapat agak orang itu Kadazan atau Cina atau Melayu atau Melayu dari Semenanjung. Tetapi kita tak boleh juga anggap orang itu bukan daripada keluarga kita. Inilah yang diperlihatkan di Sabah. Rakyat Sabah tidak mengira kaum atau etnik. Semuanya sama.

"Inilah yang sebabnya saya memperkenalkan Gagasan 1Malaysia. Ini bukan slogan dan bukan retorik politik. Inilah dia ramuan yang boleh jadi penawar semua kaum dan etnik. Sebagai satu keluarga, kita akan menjadi negara yang kuat dengan etnik lain, tetapi hati tetap taat dan setia kepada negara," katanya. BERNAMA

Artikel Berikut

Seminar PAS luluskan lima resolusi

Artikel Berkaitan

Klik

default image

Ketuhar Panasonic Big Cubie memang power! Memasak kini lebih mudah, hidangan lebih sihat dan lazat

ANDA mahu memasak hidangan dalam waktu singkat? Panasonic Big Cubie boleh membantu.

default image

Populasi penduduk kunci utama PSKL2040

DBKL menekankan aspek populasi penduduk sebagai kriteria utama dalam merangka pelan pembangunan di ibu kota.

default image

TMM2020: “Malaysia ada makanan sedap, banyak tempat indah dan membeli-belah pun murah” - Muhamaddin Ketapi

MALAYSIA menetapkan sasaran 30 juta pelancong dengan sasaran pendapatan sehingga RM100 bilion untuk TMM2020.

default image

Tingkatkan kemahiran, produktiviti untuk lonjakkan status ekonomi Harimau Asia

DALAM usaha untuk melonjakkan status sebagai ekonomi Harimau Asia, Malaysia berusaha untuk mengukuhkan ekonomi dan status fiskal menjelang 2021.

default image

Kata kuncinya semangat berpasukan, penganjuran julung kali perlumbaan perahu naga korporat PjH catat kejayaan berganda!

PERLUMBAAN perahu naga korporat anjuran Putrajaya Holdings membuka laluan kepada perlumbaan lebih besar pada masa akan datang.

Artikel Lain