suria

Kerajaan BN Perlu Sentiasa Perjuangkan Nasib Semua Rakyat Malaysia - Najib

KOTA KINABALU: Kerajaan Barisan Nasional (BN) perlu lebih komited bagi memperjuangkan nasib rakyat kebanyakan jika mahu kekal berkuasa dalam pilihan raya umum akan datang dan seterusnya, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata kejatuhan sesetengah daripada parti yang yang telah bertapak di negara-negara lain terutama Parti Demokratik Liberal (LDP) di Jepun perlu menjadi pengajaran kepada BN untuk terus menerus berkhidmat dengan lebih baik kepada rakyat.

"Saya difahamkan bahawa satu daripada sebab kekalahan LDP ( dalam pilihan raya umum barubaru ini) adalah disebabkan kerajaan itu dikatakan hilang sentuhan dengan rakyat.

"Ini mengingatkan saya dan kerajaan BN termasuk LDP di Sabah mengenai perlunya berpegang kepada slogan kita iaitu untuk berkhidmat kepada rakyat dan bukan sebaliknya.

"Biar BN memperjuangkan nasib semua rakyat Malaysia," katanya berucap ketika merasmikan Kongres LDP di Sabah di 1Borneo, dekat sini hari ini, Turut hadir Presiden LDP Datuk VK Liew.

Najib, yang juga Pengerusi BN, berkata pembangkang di negara ini membuat impak dalam pilihan raya umum lepas kerana pada masa itu BN lemah.

"Ia bukan disebabkan pembangkang popular tapi kerana kita hilang populariti di kalangan rakyat," katanya.

Sehubungan itu, beliau meminta semua parti komponen BN supaya bekerja kuat untuk berkhidmat kepada rakyat kebanyakan.

"Kita mesti komited dan bukan hanya berkhidmat di bibir sahaja kepada rakyat. Ini merupakan satu-satunya cara bagi kita memenangi semula hati dan fikiran rakyat," katanya.

Mengenai pembangunan, Najib memberi jaminan bahawa kerajaan pusat akan berusaha bersungguh-sungguh bagi meminimumkan ketaksamaan berhubung pembangunan antara Sabah dan Sarawak dan Semenanjung Malaysia.

"Sebab itu, kita memberi peruntukan yang besar kepada Sabah dan Sarawak berhubung dengan pembangunan di kawasan pedalaman," katanya.

Najib berkata kerajaan persekutuan juga menyedari mengenai impian rakyat Sabah dan Sarawak bagi menyambut penubuhan Malaysia dan mengisytiharkan 16 Sept sebagai cuti umum mulai tahun depan.

"Kami menyedari bahawa penubuhan Malaysia sebagai sebuah negara merdeka dan berdaulat adalah satu peristiwa penting dalam sejarah negara," katanya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain