suria

Wang RM70,000 milik pasar raya lesap

KUANTAN: Sebuah pasar raya kerugian RM70,000 apabila pencuri melarikan wang tunai tersebut yang disimpan dalam sebuah peti besi di pejabat pusat perniagaan itu di Bera, semalam.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pahang, Supt Nordin Mustapha berkata kejadian itu dipercayai dilakukan oleh lebih seorang suspek yang menceroboh masuk melalui bumbung premis itu antara pukul 12 tengah malam hingga 4 pagi semalam.

Katanya kejadian itu disedari oleh pengurus wanita pasar raya berkenaan berusia 36 tahun pada pukul 8 pagi semalam ketika cuba menutup alat pengera televisyen litar tertutup di premis berkenaan.

"Bagaimanapun, pengurus wanita itu berasa hairan apabila mendapati alat tersebut sudah dimatikan dan kemudian mendapati peti besi dalam bilik pejabatnya telah dikopak," katanya di sini, hari ini.

Nordin berkata wang tersebut adalah hasil jualan selama dua hari yang di simpan dalam peti besi berkenaan dan pengurus itu telah membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Bera pada pukul 1 petang semalam. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain