suria

Perhilitan rampas 385 ekor burung pelbagai spesies dilindungi

PULAU PINANG: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Pulau Pinang merampas 385 ekor burung daripada pelbagai spesies yang dilindungi dalam satu serbuan di sebuah rumah di Kampung Selamat, Kepala Batas dekat sini Rabu lepas.

Pengarahnya Noor Alif Wira Osman berkata serbuan kira-kira 6.30 petang itu dilakukan hasil maklumat awam dan risikan pihaknya sejak seminggu lepas.

"Dalam serbuan itu kita merampas 370 ekor burung Merbah Telinga Merah, Tiong Emas (13 ekor) dan masing-masing seekor Sunconure serta Blue Crowned Hanging Parrot. Kesemuanya bernilai RM30,000," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Noor Alif berkata dalam serbuan itu pihaknya turut menahan pemilik burung berkenaan berusia 30an bagi membantu siasatan menurut Seksyen 68 Akta Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara 1972.

Beliau berkata siasatan awal mendapati lelaki yang merupakan pemilik burung berkenaan menjadikan stor yang tersembunyi di rumahnya sebagai tempat menyimpan burung-burung yang dipercayai dibawa masuk dari negara jiran melalui jalan darat.

"Burung-burung berkenaan disimpan di situ sebelum diedarkan secara haram kepada peniaga-peniaga kedai binatang peliharaan dan individu di sekitar negeri ini," katanya.

Katanya pihaknya telah membebaskan lelaki berkenaan selepas mengambil keterangan daripadanya.

"Semua burung yang kita rampas akan dihantar ke Zoo Melaka," katanya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain