suria

Peguam wanita mengaku tidak bersalah pertuduhan pecah amanah

PETALING JAYA: Seorang peguam wanita mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini terhadap pertuduhan pecah amanah melibatkan RM96,253 milik seorang ejen hartanah.

Annamala Thananayagam, 43, dari firma guaman T.Annamala & Associates diamanahkan dengan wang itu sebagai sebahagian bayaran pendahuluan bagi pembelian sebuah hartanah oleh Abdul Jamil Abdul Mutalib, 57.

Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di firmanya di No.4B, Tingkat 2, Jalan 14/14, Petaling Jaya, antara 18 Nov, 2007, dan 6 Mei, 2008.

Dia dituduh mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan dan jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara antara dua dan 20 tahun dan juga sebatan dan denda.

Timbalan Pendakwa Raya Shah Rizal Abdul Manan mencadangkan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin.

Peguam Stanislaus Vethanayagam Laws memberitahu mahkamah bahawa anak guamnnya sedia menyerahkan pasport antarabangsanya dan telah memberikan kerjasama penuh dalam penyiasatan polis.

Beliau juga memberitahu mahkamah bahawa suami Annamala, yang merupakan penjaminnya, hanya mempunyai RM5,000 dan Annamala mengalami sakit belakang yang teruk sejak direman dua hari lepas.

Hakim Rozina Ayob membenarkan jaminan RM6,000 dengan seorang penjamin dan memerintahkan Annamala menyerahkan pasportnya kepada mahkamah.

Beliau menetapkan 8 Dis untuk sebutan semula kes itu.

Di mahkamah yang sama, seorang pembaca meter Tenaga Nasional Bhd dihukum penjara lapan tahun dan empat sebatan dengan rotan selepas dia didapati bersalah mencederakan pemilik kedai runcit dalam cubaan rompakan enam tahun lepas.

Mohd Zaidy Adenan, 29, mencederakan tangan Mubarak Amanullah Khan, 35, dengan parang yang menyebabkan pekedai itu menerima 15 jahitan.

Dia melakukan kesalahan itu di Kedai Runcit Mubarak di No 7-G, Jalan SR7/7, Serdang Raya, Seri Kembangan, pada kira-kira 9.45 pagi, 11 April, 2003.

Hakim Rozina memerintahkan Mohd Zaidy menjalani hukuman dari hari ini tetapi membenarkan permohonan peguam belanya, Justin Morais bagi penangguhan pelaksanaan hukuman dan menaikkan jumlah jaminan daripada RM8,000 kepada RM10,000 sementara menunggu rayuan di Mahkamah Tinggi. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain