suria

Dua Rakyat Tempatan Ditahan dan Dadah Bernilai RM 34,000 Dirampas

KUALA LUMPUR: Polis menahan seorang wanita dan seorang lelaki tempatan serta merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM34,000 dalam dua serbuan di sekitar ibu negara di sini pada 25 Oktober dan dan 3 November lepas.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kuala Lumpur Supt Sharifah Hawariah Syed Idrus berkata serbuan pertama dibuat di sebuah restoran di Jalan Bukit Bintang pada pukul 5 petang.

"Polis memberkas suspek wanita di dalam restoran itu dan menemui ganja seberat 1,952 gram yang dianggar bernilai RM4,000 pada badan suspek. Turut dirampas sebuah telefon bimbit jenis Nokia miliknya," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata polis tidak menolak kemungkinan ganja berkenaan adalah untuk dijual bagi pasaran tempatan dan antarabangsa. Sementara itu, dalam serbuan kedua seorang lelaki diberkas di sebuah pusat karaoke di Jalan Gelang, Off Jalan Sungai Besi dan polis merampas 600 biji pil ecstacy seberat 220 gram bernilai RM30,000 yang disembunyikan dalam sebuah kotak speaker.

Lelaki itu ditahan dalam sebuah tandas di pusat karaoke berkenaan kira-kira pukul 3.30 petang.

"Ketika diberkas suspek sedang memegang sebuah kotak speaker yang di dalamnya mengandungi kesemua pil ecstacy berkenaan dan siasatan masih dijalankan bagi mengenalpasti dan menjejaki beberapa rakan suspek yang masih bebas," katanya.

Sharifah Hawariah berkata polis percaya sendiket terbabit menjalankan kegiatan pengedaran dadah jenis ecstacy di sekitar Lembah Klang.

Kedua-dua suspek yang berumur 20 dan 30 tahun itu kini ditahan untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Merbahaya 1952 yang jika sabit kesalahan boleh membawa hukuman mati mandatori. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain