suria

Dr Asri Mahu PGSM Minta Maaf Secara Terbuka

PULAU PINANG: Bekas Mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin meminta Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) menunaikan janji untuk menarik balik segala tuduhan yang dilemparkan terhadapnya melalui permohonan maaf secara terbuka seperti yang telah dipersetujui kedua-dua pihak.

Katanya dalam pertemuannya dengan persatuan itu di Kuala Lumpur semalam, persatuan telah bersetuju untuk melakukan kedua-dua perkara itu.

"Perkara ini telah dipersetujui dalam satu draf yang ditandatangai oleh pihak PGSM dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Jamil Khir Baharom, sebagai saksi," katanya kepada pemberita selepas majlis penerangan mengenai isu penahanannya yang bertajuk "Gelombang Fitnah" di sini, malam semalam.

Mohd Asri ditahan oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIs) Ahad lalu kerana dikatakan berceramah tanpa tauliah di sebuah rumah di Taman Sri Ukay, Hulu Klang, Selangor.

Bekas mufti itu dilaporkan berkata beliau akan mengemukakan saman terhadap PGSM kerana persatuan itu dikatakan membuat beberapa tuduhan terhadapnya dalam satu memorandum bertarikh 12 Oktober lepas kepada Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin.

Mohd Asri berkata perkara itu dianggap selesai jika PGSM menunaikan janjinya menarik balik tuduhan terhadapnya dan memohon maaf secara terbuka.

"Saya tidak ada permusuhan dengan PGSM, jika mereka menunaikan permintaan saya, maka saya akan maafkan mereka," katanya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain