suria

Sebutan kedua kes A. Kugan pada 3 Disember ini

PETALING JAYA: Mahkamah Sesyen di sini hari ini menetapkan 3 Disember ini untuk sebutan kali kedua kes A. Kugan, yang meninggal dunia semasa dalam tahanan polis, bagi membolehkan pihak pendakwaan menyerahkan kesemua dokumen berhubung kes itu.

Hakim Aslam Zainuddin menetapkan tarikh itu selepas pihak pembelaan yang diketuai Raj Pal Singh memberitahu mahkamah pihaknya masih belum menerima beberapa dokumen yang berkaitan.

Pendakwaan yang diketuai oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Abazafree Mohd Abbas berkata pihaknya tiada bantahan terhadap permohonan itu.

Pada 1 Okt lalu, seorang konstabel dari Balai Polis Subang USJ, V. Navindran, 28, mengaku tidak bersalah di mahkamah sama terhadap dua pertuduhan mengakibatkan kecederaan teruk terhadap Kugan.

Kugan, 22, ditahan polis pada 15 Jan tahun ini atas dakwaan terlibat dalam kes curi kereta tetapi meninggal dunia beberapa hari kemudian semasa dalam tahanan polis di balai polis itu. BERNAMA

Artikel Lain