suria

Pantang maut sebelum ajal

PETALING JAYA: Pantang maut sebelum ajal. Amat menakjubkan seorang pelajar tingkatan lima masih hidup walaupun kenderaannya jenis Toyota FTO melanggar dinding di bawah satu jejambat bertentangan Phileo Damansara, semalam.

Pemandu terbabit yang hanya dikenali sebagai Mohd Aliff hanya patah kaki selepas hilang kawalan kenderaannya ketika memandu pulang dari perpustakaan sekolah.

Mangsa dikejarkan ke Hospital Pakar Damansara oleh orang ramai yang berada di situ.

Mohd Aliff dikatakan cuba memintas sebuah kereta di depan dalam insiden itu yang berlaku kira-kira 3.30 petang.

Tiga kawan mangsa yang mengekori dari belakang dalam sebuah kenderaan lain memberitahu mereka terkejut melihat kemalangan itu kerana ia berlaku dalam sekelip mata.

"Tiba-tiba, kereta Aliff tersasar ke kiri dan terbabas sebelum melanggar dinding," kata seorang kawannya yang hanya ingin dikenali sebagai Arif.

Tambah Arif, Aliff cuba menekan brek kerana terdapat bunyi tayar menciut sebelum perlanggaran itu.

Asap berkepul-kepul naik dari kereta yang remuk itu. Ini menarik perhatian para pengguna jalan raya sehingga menyebabkan trafik menghala Sungai Buloh seolah-olah terhenti.

Manakala pemandu kereta di depan kereta Mohd Aliff, Azizan Ismail, 48, berkata dia tidak sedar kemalangan telah berlaku sehingga menyedari keretanya dilanggar dari belakang.

Isterinya, Rosmawati Rabu, 45, berkata dia mendapat intuisi sesuatu buruk bakal berlaku kerana Azizan tidak sengaja mengambil jalan yang salah.

Mereka sekeluarga sedang menghala balik ke kampung halaman di Manjung selepas melawat seorang saudara di sini.

"Kami sepatutnya mengambil jejambat menghala ke Sungai Buloh tetapi terlepas satu lencongan," kata Rosmawati yang menyifatkan kemalangan itu sebagai takdir.

Artikel Lain