suria

Liow serah peguam kaji tindakan cabar keputusan ROS

PUTRAJAYA: Naib Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai menyerahkan kepada peguamnya untuk mengkaji tindakan selanjutnya selepas beliau berhasrat mencabar keputusan Pendaftar Pertubuhan (ROS) yang mengesahkan Datuk Seri Dr Chua Soi Lek masih Timbalan Presiden parti itu.

Liow yang dilantik sebagai Timbalan Presiden oleh Jawatankuasa Pusat parti itu pada 15 Oktober ketika jawatan tersebut dianggap kosong, melahirkan rasa tidak puas hati dan mendakwa keputusan ROS itu melanggar perlembagaan MCA dan berhasrat untuk membawanya ke mahkamah.

Menurut ROS, kekosongan jawatan tersebut tidak berlaku memandangkan keputusan mesyuarat agung luar biasa (EGM) parti itu pada 10 Oktober lepas tidak memenuhi keperluan dua pertiga majoriti supaya Dr Chua dilucutkan seperti yang diperuntukkan dalam Perkara 35 Perlembagaan MCA.

Mengenai kenyataan setiausaha agung MCA Datuk Wong Foon Meng untuk tidak akan memanggil satu lagi EGM seperti yang diminta oleh 16 anggota Jawatankuasa Pusat minggu lepas bagi memberikan laluan untuk pemilihan baru parti, beliau berkata mereka berhak memanggil satu lagi EGM.

"Saya fikir untuk tuntutan, mereka ada hak untuk memanggil EGM. Begitu juga setiausaha agung dan juga sebagai seorang pegawai parti, mereka hendaklah menghormati perlembagaan parti itu. Sebarang hak yang diperuntukkan di bawah perlembagaan mereka hendaklah menghormati hak itu," katanya.

Liow juga berterima kasih kepada Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mencadangkan supaya MCA perlu mewujudkan "tempoh bertenang" bagi membolehkan semua pemimpin kanannya berunding untuk menyelesaikan masalah dalaman parti itu. BERNAMA

Artikel Lain