suria

Isu Dr. Asri: MB Selangor arahkan JAIS menghadap sultan

SHAH ALAM: Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim mengarahkan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) untuk menghadap Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah bagi memberi penjelasan mengenai isu penangkapan bekas Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin.

"Ketika ini langkah terbaik ialah dengan menyediakan satu penjelasan yang terperinci kepada Sultan Sharafuddin mengenai isu ini kerana tuanku merupakan ketua agama Islam di Selangor.

"Kami telah memanggil Pengarah JAIS, Datuk Mohammed Khusrin Munawi bagi memberikan taklimat lengkap mengenai sebab-sebab penangkapan itu," katanya selepas mesyuarat minggu exco di sini semalam.

Khalid menambah, hasil perbincangan secara tertutup dengan Pengarah JAIS itu hanya akan dimaklumkan kepada sultan dan tidak akan didedahkan kepada media pada masa ini.

Ahad lalu, Mohd Asri ditahan oleh JAIS di Taman Sri Ukay, Hulu Klang kerana didakwa menyampaikan ceramah agama tanpa tauliah.

Bagaimanapun, Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, Selangor Isnin lalu tidak mendakwanya, sebaliknya Mohd. Asri hanya dikenakan bon jaminan JAIS sebanyak RM3,000.

Ketika ditanya berhubung isu-isu yang dibincangkan, Khalid berkata kerajaan negeri tidak mempunyai kuasa untuk mendedahkannya secara lanjut.

"Kami telah membincangkan mengenai dua isu berkaitan dengan Enakmen Pentadbiran Agama Islam Selangor 2003, mengenai pelaksanaannya dan kesan kepada penggunaan enakmen berkenaan," katanya.

Artikel Lain