suria

Seminar bukan untuk bincang kemelut kepimpinan PAS- Salahuddin

KUALA LUMPUR: Seminar politik PAS pada Sabtu ini bukan bertujuan membincangkan kemelut kepimpinan parti itu sebaliknya untuk memperkasakan parti demi memperkukuh pakatan pembangkang bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang, kata naib presiden PAS Salahuddin Ayub. "Ini (isu kemelut kepimpinan) tak berbangkit, kira dah selesai. Soal (Pesuruhjaya PAS Selangor) (Datuk) Dr Hassan Ali kita dah serah kepada Jawatankuasa Disiplin parti," katanya kepada Bernama ketika diminta mengulas perkara itu di sini hari ini.

Mengenai seminar sehari itu, Salahuddin berkata peserta akan membahaskan ucap utama presiden yang akan disampaikan pada sebelah pagi.

"Adalah diharapkan pada penghujung seminar kita akan dapat menyatakan kepada masyarakat luar bahawa PAS masih bersama pakatan rakyat dan (akan) memperkukuhkan kedudukan kita dalam pakatan," katanya.

Salahuddin berkata seminar akan disertai wakil PAS kawasan seluruh negara dan perbahasan terbuka kepada semua.

Dua pemerhati politik iaitu Prof Dr Abdul Aziz Bari dari Universiti Islam Antarabangsa dan Prof Dr Abu Hassan Hasbullah dari Universiti Malaya turut diundang bagi mengemuka pandangan mereka.

"Kita bersedia mendengar pandangan alternatif," katanya.

Seminar sehari itu diadakan bagi menggantikan muktamar khas yang disaran oleh Mursyidul Am parti Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang mahu PAS "membersihkan" parti itu daripada segelintir pemimpin yang disifatkan beliau sebagai bermasalah.

Saranan Nik Abdul Aziz itu adalah rentetan daripada pandangan penganalisis politik bahawa terdapat beberapa pemimpin Pas yang dilihat tidak bersungguhsungguh dalam menjayakan kerjasama parti itu dengan DAP dan Parti Keadilan Rakyat. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain