suria

SEGERA: PAC minta SPRM & Polis siasat bekas Menteri Pengangkutan; bekas GM Pelabuhan Klang

KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Kira-kira Awam (PAC) mengesyorkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)dan polis menyiasat bekas Menteri Pengangkutan, Tan Sri Chan Kong Choy dan bekas pengurus besar Lembaga Pelabuhan Klang, Datuk Paduka O.C.Phang kerana pecah amanah berhubung tiga surat sokongan dan surat akujanji untuk projek Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ).

PAC yang masih menjalankan siasatan ke atas PKFZ telah mendapati Chan and Phang telah melanggar Seksyen 14 (1) Akta Prosedur Kewangan 1957 dengan mengeluarkan tiga keping surat sokongan dan tiga surat aku janji tanpa terlebih dahulu memperolehi kelulusan atau kebenaran Kementerian Kewangan.

PAC berkata, pejabat Peguam Negara mendapati tiga surat sokongan yang dikeluarkan oleh Chan dan tiga lagi surat aku janji yang dikeluarkan oleh Phang secara tersiratnya meletakkan pertanggungjawaban penuh ke atas kerajaan untuk memastikan bahawa wujudnya peruntukkan untuk Pihak Berkuasa Pelabuhan Klang (PKA) memenuhi obligasinya di bawah perjanjian pembangunan PKFZ.

“Maka itu, satu penyiasatan yang menyeluruh sama ada oleh pihak polis ataupun SPRM perlu dilakukan memandangkan apa yang telah berlaku ini tidak mengikut prosedur di bawah akta berkenaan,’’ demikian menurut laporan PAC yang dikeluarkan di Parlimen hari ini.

Laporan itu juga menyebut, bahawa isu berkaitan dengan penerbitan bon untuk membiayai projek berkenaan juga dilakukan tanpa prosedur yang betul kerana ia telah menyebabkan kerajaan menanggung kerugian yang sangat besar.

PAC mencadangkan supaya Kementerian Kewangan menilai kembali penebusan bon berkenaan secepat yang mungkin untuk mengelak kerugian akumulatif yang lebih besar akibat faedah yang terpaksa ditanggung oleh kerajaan.

Laporan itu turut menyebut, surat akujanji yang dikeluarkan oleh Phang juga bertentangan dengan keputusan kerajaan apabila meluluskan projek PKFZ bahawa projek itu mestilah dibangunkan menggunakan dana yang dijana oleh PKA.

Kata laporan PAC itu lagi, Phang dan Kementerian Pengangkutan telah gagal untuk memaklumkan situasi ini kepada kabinet dengan segera dan pada masa yang sesuai.

Dan PKA juga telah gagal untuk melaksanakan projek ini menerusi dana yang dijana sendiri sebagaimana yang terkandung di dalam Laporan Ketua Audit Negara bagi tahun 2003, 2004, 2005, 2006 dan 2007.

Malah PAC juga mendapati, PKA dan pihak kementerian tidak mengadakan perbincangan dengan Kementerian Kewangan dan Unit Perancang Ekonomi berkaitan peruntukkan dana bagi projek PKFZ.

Hasil siasatan PAC juga mendedahkan bahawa Phang telah bertindak secara salah apabila mengeluarkan surat aku janji kepada OSK Securities Bhd dengan menyatakan bahawa PKA akan memohon kepada kerajaan agar menyalurkan dana daripada peruntukkan bajet kepada satu akaun rezab khas yang akan diurustadbir oleh PKA bagi tujuan membangunkan PKFZ.

PKA sebenarnya tidak mendapat kelulusan daripada Kementerian Pengangkutan ataupun Kementerian Kewangan berhubung perkara berkenaan.

Mengenai tanggungjawab ahli lembaga PKA pula, laporan PAC menyebut, mereka telah gagal untuk mengawasi situasi kewangan PKA walaupun Laporan Ketua Audit Negara pada tahun 2004 telahpun menegaskan bahawa PKA tidak mempunyai obligasi kewangan yang kukuh untuk melaksanakan projek PKFZ.

PAC juga menyokong langkah PKA membentuk satu pasukan petugas khas untuk mengkaji apa juga kepincangan yang berlaku dan telah menyenaraikan beberapa isu yang berkaitan PKFZ yang memerlukan perhatian SPRM.

Laporan PAC yang dikeluarkan hari ini ditandatangani oleh Pengerusinya, Datuk Seri Azmi Khalid (BN-Padang Besar); Dr Tan Seng Giaw (DAP - Kepong); Datuk Nur Jazlan Mohamed (BN - Pulai); Tan Ah Eng (BN - Gelang Patah); Hanim Samuri (BN- Ledang); Datuk Seri Panglima Mojilip Bumburing @ Wilfred (BN -Tuaran); Liang Teck Meng (BN - Simpang Renggam); Alexander Nanta Linggi (BN - Kapit); Datuk Abdul Rahman Dahlan (BN - Kota Belud); Datuk Kamarul Baharin Abbas (PKR - Teluk Kemang); William Leong (PKR -Selayang); Datuk Kamaruddin Jaffar (PAS - Tumpat) dan Tony Pua (DAP-Petaling Jaya Utara).

Artikel Sebelum

Artikel Lain