suria

Polis tahan dua wanira, rampas heroin RM42, 000

KUALA TERENGGANU: Polis Terengganu menahan dua wanita dan merampas 39 gram dadah jenis heroin bernilai RM42,000 dalam satu serbuan di kawasan lapang berhampiran Jambatan Sultan Mahmud di sini, dua hari lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik negeri Supt Roslan Abd Wahid berkata salah seorang daripada wanita itu adalah warga Thailand yang berumur 45 tahun, manakala rakannya yang berumur 47 tahun pula berasal dari Rantau Panjang, Kelantan.

Beliau berkata kedua-dua wanita itu dikesan oleh anggota polis yang sedang meronda, memasuki kawasan lapang bersebelahan Stesen Janakuasa TNB berhampiran Jambatan Sultan Mahmud dengan menaiki sebuah kereta Proton Wira pada kira-kira pukul 10 malam.

Katanya seorang daripada wanita dalam kereta itu kemudiannya dilihat keluar dari kereta dengan membawa satu bungkusan, tetapi apabila menyedari kehadiran polis wanita itu terus mencampakkan beg tersebut ke atas jalan.

"Polis terpaksa memecahkan cermin tingkap kereta itu untuk menangkap wanita yang berada di dalam kereta, yang enggan keluar selepas beberapa kali diarah berbuat demikian," katanya pada persidangan media di pejabatnya di sini, hari ini.

Roslan berkata ibu tunggal yang berasal dari wilayah Narathiwat, Thailand dan mempunyai lima orang anak itu dipercayai pernah dipenjarakan di Thailand selama empat tahun kerana kes melibatkan dadah.

Beliau berkata kedua-dua wanita itu kini direman seminggu mulai 2 November lepas untuk siasatan lanjut, dan kes berkenaan sedang disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Sementara itu dalam kes berasingan, polis menahan lima lelaki serta seorang wanita, dan merampas 2.5 gram dadah jenis syabu dalam satu serbuan di sebuah rumah di Taman Jaya Pusara, di sini pukul 2.30 awal pagi ini.

Seorang daripada lelaki yang ditahan adalah pegawai Agensi Anti Dadah Kebangsaan di sini.

Roslan berkata kesemua mereka yang berumur antara 23 dan 30 tahun itu ditahan di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) akta sama untuk siasatan lanjut. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain