suria

Empat ahli jawatankuasa MCA digugurkan

KUALA LUMPUR: Timbalan Menteri Kewangan Datuk Chor Chee Heung adalah antara empat anggota jawatankuasa pusat MCA yang digugurkan oleh presiden parti Datuk Seri Ong Tee Keat hari ini.

Tiga yang lain ialah Yoo Wei Hou, Chai Kim Sen dan Gan Hong Su.

Mereka menerima surat pengguguran mereka pada 10.30 pagi tadi sebelum mereka dapat menghadiri mesyuarat jawatankuasa itu di ibu pejabat parti di sini.

"Tindakan ini adalah sesuatu yang mengejutkan kerana kami sudah bersedia untuk hadir mesyuarat itu bagi membincangkan agenda penting mengenai pelan perpaduan parti," kata Chor kepada pemberita di Wisma MCA.

Beliau berkata tindakan Ong itu akan menjadikan MCA bahan cemuhan kerana, pada ketika Ong menghebahkan rancangannya untuk menyatukan parti, beliau juga menyingkirkan mereka yang tidak sehaluan dengannya.

Chor berkata Ong telah melantik tiga anggota baru ke jawatankuasa itu tetapi beliau tidak menamakan mereka. Katanya tindakan Ong itu merupakan satu perbuatan balas dendam terhadap pemimpin-pemimpin MCA yang tidak bersetuju dengannya.

Chor juga berkata kedudukan beliau sebagai timbalan menteri tidak terjejas kerana kuasa pelantikan itu adalah pada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Yoo dan Gan pula berkata mereka tidak tahu sebab pengguguran mereka. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain