suria

Samun: 4 warga India, 2 lelaki tempatan diberkas polis

KUALA LUMPUR: Empat lelaki pendatang asing tanpa izin (PATI) warganegara India merupakan antara enam lelaki yang ditahan polis kerana dipercayai terlibat dalam kes samun sebuah kafe internet di Desa Hartamas minggu lepas.

Lima daripada mereka ditahan di Jalan Desa Sri Hartamas dan seorang di Jalan Tun Sambathan Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Brickfields ACP Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid berkata kelima-lima lelaki empat warga India dan seorang lelaki tempatan yang ditahan di Jalan Desa Sri Hartamas kira-kira pukul 1.45 tengah hari itu sedang menaiki sebuah van.

"Seorang lagi lelaki tempatan yang bekerja sebagai subkontraktor ditahan di Jalan Tun Sambathan pukul 3 petang pada hari yang sama," katanya.

Hasil tangkapan pertama itu, polis merampas sebuah van, satu set Home Theatre jenis Pioneer bersama speaker, dua blender, satu oven, tiga pendingin hawa, 28 kerusi, satu pengadun tepung, satu periuk nasi, tiga kompresor pendingin hawa, kabel, satu kipas dan sebuah lampu laser.

Beliau berkata polis turut merampas tiga kamera, sebuah kamera litar tertutup (CCTV), dua tv LCD, sebuah jam dinding dan satu dulang aluminium daripada subkontraktor itu.

Wan Abdul Bari berkata dalam kejadian samun 28 Okt itu semua suspek memasuki kafe internet tersebut melalui tingkap tandas belakang selepas ia ditutup kira-kira pukul 11.30 malam.

"Mereka telah memotong jeriji tingkap tandas berhampiran dapur di belakang kafe internet tersebut," katanya.

Sementara itu, beliau berkata ketika memeriksa sebuah kafe internet di Jalan Thambi Pillay pada 11 malam semalam, polis menahan seorang lelaki tempatan dan merampas 10 mesin judi haram yang bernilai RM25,000. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain