suria

Polis rampas 11 peluru hidup daripada pembantu makmal sekolah

SETIU: Polis menahan seorang lelaki dipercayai pengedar dadah dan merampas 11 butir peluru hidup dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Desa Jaya, Sungai Tong dekat sini, semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Terengganu Supt Roslan Abdul Wahid berkata dalam serbuan hasil maklumat awam itu, polis menemui 10 butir peluru senapang patah dan sebutir peluru pistol 3.8.

"Sepasukan anggota polis cawangan anti narkotik Setiu telah membuat serbuan 3.30 pagi dan mendapati seorang lelaki berumur 33 tahun berada dalam rumah berkenaan dan peluru itu ditemui dalam sebuah beg kecil," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Setiu di sini hari ini.

Beliau berkata lelaki itu yang bekerja sebagai pembantu makmal di sebuah sekolah menengah di sini ditahan reman tiga hari mulai hari ini untuk siasatan lanjut.

Dalam kes yang lain, polis menahan tiga penoreh getah termasuk seorang wanita dan merampas 57 kilogram daun ketum bernilai RM1,170 dalam serbuan di sebuah kebun getah di Kampung Bukit Layat Chalok, 9 pagi semalam.

Roslan berkata suspek dipercayai telah menjual air ketum sejak lebih setahun lalu dengan harga RM2 sebungkus. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain