suria

Dua rakyat China ditahan kerana menipu

KOTA BAHARU: Dua rakyat China ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes penipuan membabitkan kerja membersih barang kemas menggunakan sejenis cecair yang dipercayai boleh menyebabkan berat barang kemas merosot.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Kelantan Supt Hamzah Alias berkata penipuan secara licik dilakukan tanpa pengetahuan pemilik sekalipun jumlah berat berkurangan sehingga 37 gram.

"Mereka ditahan di Kampung Gual Ipoh, Tanah Merah, pada Ahad lepas setelah polis menerima laporan dari orang ramai yang menjadi mangsa penipuan itu," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Hamzah berkata lelaki berusia 29 dan 36 tahun itu ditahan di hadapan sebuah kedai runcit di sini ketika menjalankan kerja membersih barang kemas dengan bayaran RM3 setiap satu.

Menurutnya setiap mangsa mengalami kerugian antara RM1,400 dan RM7,500 akibat kemerosotan berat asal barangan kemas mereka apabila ditimbang di beberapa kedai emas.

Hamzah berkata antara barang-barang yang dirampas daripada kedua-dua lelaki itu ialah cecair pencuci barang kemas, peralatan membersih dan ketulan kecil, yang dipercayai emas hasil daripada kerja pembersihan itu.

Beliau berkata kedua-dua suspek kini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 10 tahun dan sebatan atau didenda.

Mereka kini direman selama empat hari bagi membantu siasatan berhubung laporan yang dianggap julung-julung kali berlaku.

Beliau menasihatkan orang ramai yang rasa tertipu supaya membuat laporan polis. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain