suria

Cerun runtuh: KM 12 Jalan Rawang-Selayang ditutup

RAWANG: Jalan persekutuan di KM 12 Jalan Rawang-Selayang di Bukit Kanching di sini ditutup kepada semua lalulintas hari ini akibat cerun runtuh pada 2.45 pagi tadi.

Cerun yang runtuh itu, berkeluasan 200 hingga 250 meter, menutupi laluan kedua-dua arah Jalan Rawang-Selayang menyebabkan lebih 80,000 pengguna tidak dapat melalui jalan itu yang ditutup sejak 4.45 pagi.

Menteri Kerja Raya Datuk Shaziman Mansor melawat kawasan itu dan mengarahkan cawangan jalan dan cerun Jabatan Kerja Raya menyediakan satu laporan terperinci mengenai punca kejadian.

"Kerja pembinaan di kawasan berhampiran tempat kejadian harus dihentikan sementara menunggu laporan disiapkan bagi mengelak kejadian tanah runtuh berulang," katanya kepada pemberita.

Pada masa ini kerja pembersihan sedang giat dijalankan untuk membolehkan orang ramai kembali menggunakan laluan tersebut secepat mungkin.

Shaziman berkata jalan itu dijangka beroperasi seperti biasa pada pukul 7 pagi esok sekiranya tidak berlaku kejadian susulan dan hujan.

Pada 5.50 pagi, sepasukan polis serta unit anjing pengesan tiba di tempat kejadian dan mendapati tiada mangsa dan kenderaan yang tertimbus. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain