Tiga warga Sri Lanka selamat, 10 penculik ditahan - Semasa | mStar

Tiga warga Sri Lanka selamat, 10 penculik ditahan

KUALA LUMPUR: Tiga warga Sri Lanka, termasuk dua lelaki warga emas berjaya diselamatakan dari cengkaman sindiket penculikan antarabangsa hasil kerjasama polis Malaysia, Perancis dan polis antarabangsa (Interpol). Dua lelaki warga emas itu diselamatkan dari sebuah rumah di Setapak pada Khamis (29 Oktober) lepas hasil maklumat yang diperolehi daripada enam suspek yang ditahan pada hari Rabu (28 Oktober) berikutan kes penculikan seorang remaja Sri Lanka pada 26 Oktober, kata Pengarah Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Mohd Bakri Zinin.

Beliau berkata ketigatiga mangsa, termasuk warga emas yang berumur 57 dan 63 tahun itu, bukan sahaja dikurung tetapi juga dipukul dan didera, serta tidak diberikan makan oleh kumpulan penjenayah itu.

Mohd Bakri berkata hasil kerjasama PDRM, Interpol dan polis Perancis, pihak berkuasa Perancis berjaya menahan empat suspek berusia 20 hingga 36 tahun di Perancis, dan Malaysia menahan enam termasuk warga tempatan dan di Sri Lanka yang berusia antara 20 hingga 30 tahun. "Bertindak atas laporan seorang remaja Sri Lanka diculik pada 26 Oktober, polis menyerbu sebuah rumah di Setapak dan menahan enam lelaki berkenaan sebelum menyelamatkan dua warga emas Sri Lanka keesokan paginya di kawasan berhampiran," katanya kepada pemberita di pejabatnya di sini.

Beliau berkata dua warga emas itu didapati masuk ke negara ini secara sah dan dipercayai baru beberapa hari diculik oleh kumpulan penjenayah itu.

Mohd Bakri berkata beliau percaya sindiket tersebut hanya mahukan wang tebusan dan bukan bertujuan menjadikan mangsa culik itu sebagai mangsa penyeludupan manusia. "Kita percaya ia tiada kaitan dengan penyeludupan manusia tetapi kita akan siasat motif kesemua mangsa masuk ke negara ini. Kita juga sedang menyiasat sama ada salah seorang suspek yang ditahan adalah dalang sindiket ini," katanya.

Mohd Bakri berkata siasatan akan diteruskan termasuk menjejaki sekiranya masih ada saki baki ahli sindiket itu di Malaysia, Sri Lanka atau negara lain bagi memastikan sindiket tersebut ditumpaskan sepenuhnya.

Beliau berkata modus operandi sindiket itu adalah dengan mensasarkan warga Sri Lanka yang masuk ke negara ini dengan menculik mangsa sebelum menuntut wang tebusan dibayar dalam akaun bank di luar negara misalnya di Perancis.

Rangkaian sindiket yang berada di negara ini mulanya akan menyusun rancangan rapi sebelum menculik mangsa dan kemudiannya menghubungi keluarga mangsa yang berada di luar negara untuk membayar wang tebusan di dalam akaun yang ditetapkan, katanya.

"Mangsa sindiket ini bukannya datang dari keluarga berada tetapi sederhana. Suspek juga tidak menuntut wang tebusan yang tinggi malahan dalam kes membabitkan remaja 16 tahun itu, sebanyak RM25,000 dituntut suspek dan jumlah itu dibayar oleh keluarganya.

"Bagaimanapun, suspek tidak sempat menuntut wang tebusan dari keluarga dua warga emas berkenaan," katanya.

Katanya, tangkapan sindiket tersebut merupakan yang terbesar setakat ini yang mensasarkan warga Sri Lanka sebagai mangsa. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Klik

default image

Ketuhar Panasonic Big Cubie memang power! Memasak kini lebih mudah, hidangan lebih sihat dan lazat

ANDA mahu memasak hidangan dalam waktu singkat? Panasonic Big Cubie boleh membantu.

default image

WKB 2030 sasar taraf hidup lebih baik untuk rakyat di seluruh negara

WKB2030 adalah pelan 10 tahun yang diperkenalkan kerajaan dalam memastikan Malaysia terus berkembang dengan mampan.

default image

Jurang ekonomi penduduk bandar dan desa cabaran utama WKB 2030

JURANG ekonomi yang besar di antara kumpulan pendapatan, etnik serta kawasan luar bandar dan bandar antara cabaran besar yang dihadapi negara.

default image

Culas bayar cukai kena penalti 300 peratus, ketahui 10 fakta penting Program Khas Pengakuan Cukai Secara Sukarela

HANGAT diperkatakan mengenai isu melunaskan cukai dan masih ada yang culas untuk melaksanakan tanggungjawab sebagai pembayar cukai. 

default image

Pakar ekonomi saran Malaysia laksana pembaharuan struktur

HALA tuju perdagangan dan pelaburan global memainkan peranan penting dalam ekonomi terbuka seperti Malaysia.

Artikel Lain