suria

Tangkapan Asri timbulkan persoalan

KUALA LUMPUR: Tindakan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menahan bekas Mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin malam tadi kerana dikatakan berceramah tanpa tauliah menimbulkan pelbagai persoalan.

Selain Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang mempersoalkan motif penahanan itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Mej Jen (B) Datuk Jamil Khir Baharom berkata JAIS dan kerajaan negeri Selangor perlu menyelesaikan kes itu dengan sewajarnya.

"Ini kerana tangkapan dah dibuat tetapi proses pendakwaan tidak berjalan sepatutnya. Kalau sudah minta (Asri) untuk pergi mahkamah pukul 9 pagi tetapi sampai tengah hari perkara (tuduhan) itu tidak dimaklumkan, hal seperti ini tidak sewajarnya berlaku," katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan hampir sejam dengan Asri di sini hari ini. Beliau berkata pertemuannya dengan Asri adalah bagi mendapatkan penjelasan daripada bekas mufti itu mengenai apa yang berlaku terhadapnya semalam.

Katanya kerajaan pusat tidak bertanggungjawab memandangkan kejadian itu berlaku di Hulu Klang, iaitu di bawah jajahan negeri Selangor.

"Hal agama tertakluk kepada negeri masing-masing," katanya.

Asri ketika ditemui mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang menyokong beliau.

JAIS telah menahan Asri kerana dikatakan menyampaikan kuliah tanpa tauliah di sebuah kediaman di Taman Sri Ukay pukul 12 tengah malam tadi.

Beliau diminta hadir di Mahkamah Rendah Syariah di Gombak pagi ini tetapi tidak ada pertuduhan disebut, dan beliau kemudian dibebaskan dengan bon jaminan tanpa cagaran.

Malahan, isu penahanan Asri itu dibangkit dalam persidangan Dewan Rakyat apabila beberapa wakil rakyat menyifatkan tindakan JAIS sebagai penyalahgunaan kuasa.

"Kalau alim ulamak tidak dibenarkan berceramah, pelik saya rasa, melainkan ajaran sesat," kata Datuk Seri Abdul Ghapur Salleh (BN-Kalabakan) ketika membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan 2010.

Datuk Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan) berkata pegawai penguatkuasa seharusnya menggunakan daya pemikiran yang waras kerana Islam adalah agama yang dimuliakan.

"Mereka (penguatkuasa) harus diberikan tarbiah sebab mereka ini menjaga agama. Mereka tidak boleh buat sesuka hati mereka," katanya.

Cadangan menyelaraskan peraturan agama Islam di seluruh negara juga disokong wakil-wakil pembangkang.

Zuraida Kamaruddin (PKR-Ampang) menggesa kerajaan menjelaskan isu pentauliahan supaya difahami oleh rakyat manakala Zulkifli Noordin (PKR-Kulim Bandar Baru) berkata seorang Mufti Perak sebelum ini juga gagal mengadakan ceramah di Johor kerana ditolak oleh Jabatan Agama Islam Negeri Johor.

Isu penangkapan Dr Mohd Asri turut dibangkitkan dalam sesi soaljawab di mana Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Abdul Aziz berkata setiap negeri mempunyai peraturan masing-masing sekiranya ingin mengadakan ceramah. BERNAMA

Artikel Lain