suria

Polis tangkap dua penculik semasa dalam proses dapatkan wang tebusan

SIBU: Polis di sini hari ini menangkap dua lelaki semasa mereka sedang dalam proses memungut wang tebusan bagi seorang bayi lelaki berumur 10 bulan yang sebelum itu dilarikan daripada penjaganya.

Ketua Siasatan Jenayah Sibu DSP David Ajek berkata kejayaan itu dicapai selepas kedua-dua penculik yangberumur 22 dan 23 tahun itu bersetuju untuk bertemu dengan penjaga bayi itu di Jalan Pedada di sini bagi mengutip wang tebusan itu.

Sebelum itu, hasil tindakan pantas, sepasukan polis menjumpai bayi itu di sebuah bangunan di Jalan Tun Openg, katanya kepada pemberita.

Pada masa kejadian itu, ibu dan bapa bayi itu tidak berada di bandar ini.

Kejayaan itu dicapai selepas polis menerima laporan daripada penjaga bayi berumur 40 tahun itu bahawa keduadua penculik bersenjata itu yang menunggang motosikal merempuh masuk rumahnya di Jalan Hua Kiew pada kira-kira pukul 9.30 pagi sebelum merampas dan melarikan bayi itu.

"Pada mulanya salah seorang daripada mereka menelefon beliau pada kira-kira pukul 10.15 pagi menuntut sejumlah wang yang banyak tetapi kemudiannya bersetuju mengurangkannya kepada RM25,000 bagi membebaskan semula budak itu kepada penjaga bayi itu.

Penculik itu kemudian mengarahkan penjaga bayi itu bertemu di suatu tempat di Jalan Pedada dengan membawa wang berkenaan sebagai pertukaran untuk bayi itu sebelum polis berjaya menangkap mereka, katanya. BERNAMA

Artikel Lain