suria

Polis rampas 10 ketulan ganja dan tahan tujuh lelaki

IPOH: Polis menumpaskan satu sindiket pengedaran ganja dengan penangkapan tujuh lelaki berusia antara 28 hingga 36 tahun dan merampas 10 ketulan mampat ganja dalam beberapa serbuan di Batu Kurau, Taiping dan Parit Buntar, Jumaat lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Perak ACP Eiap Eng Kian berkata dalam serbuan pertama pada tengah malam Jumaat, dua lelaki diberkas di sebuah stesen minyak di Batu Kurau dan lapan ketulan mampat ganja seberat 8 kilogram dirampas.

Ketulan itu dijumpai dalam raga motosikal yang dinaiki dua lelaki terbabit dan ketika ditahan mereka dipercayai sedang menunggu pelanggan untuk mengedar dadah berkenaan, katanya pada sidang akhbar di pejabatnya di sini hari ini.

Eiap berkata susulan daripada tangkapan dua lelaki itu, polis menahan lima lagi lelaki di beberapa tempat di Batu Kurau, Taiping dan Parit Buntar.

Beliau berkata seorang daripada lelaki itu kemudian membawa polis ke sebuah kedai runcit di Titi Kasai, Batu Kurau dan menemui dua lagi ketulan mampat daun kering dipercayai ganja.

Beliau berkata mereka yang ditahan itu berasal dari negeri ini dan Pulau Pinang dan mereka kini direman tujuh hari sehingga Khamis ini bagi membantu siasatan.

"Mereka disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang jika sabit kesalahan boleh dijatuhi hukuman mati mandatori," katanya.

Eiap berkata polis percaya sindiket berkenaan mendapatkan bekalan ganja dari sebuah negara jiran dan aktif memasarkannya di sekitar Perak utara. BERNAMA

Artikel Lain