suria

Orang ramai dinasihat hindari Air Terjun Batu Berangkai

KAMPAR: Polis meminta kerjasama orang ramai agar menghindari kawasan perkelahan di Air Terjun Batu Berangkai di sini semasa musim hujan bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.

Ketua Polis Daerah Kampar Supt Abdul Aziz Salleh berkata langkah berjaga-jaga itu adalah sementara sehingga keadaan cuaca yang kini kerap hujan menjadi bertambah baik.

Nasihat itu dikeluarkan selepas tiga penuntut Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) mati lemas setelah dihanyutkan arus deras ketika mandi di air terjun itu petang semalam.

"Kawasan yang mulanya tenang dan nampak selamat itu boleh berubah dengan tiba-tiba apabila hujan yang lebat boleh menyebabkan air deras turun dari kawasan atas air terjun," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Rumah Mayat Hospital Kampar di sini hari ini.

Beliau berkata kejadian pada pukul 5.30 petang semalam itu berpunca daripada 'kepala air' yang tiba-tiba turun akibat hujan sebelum itu.

Tiga penuntut yang lemas dalam kejadian itu ialah dua penuntut lelaki iaitu James Wan Kai Khor, 20 dan Yew Ghim Chnieh, 20, serta seorang penuntut wanita iaitu Yew Shy Gin, 21.

Abdul Aziz berkata mayat James ditemui tersangkut di celah pokok kira-kira 300 meter dari tempat kejadian pada pukul 10.20 malam, manakala mayat penuntut wanita itu ditemui pada pukul 11.10 malam, tidak jauh daripada tempat mayat rakannya ditemui.

Mayat Yew Ghim Chnieh, pula ditemui oleh penduduk kampung yang turut membantu operasi mencari dan penyelamat itu pada pukul 12.10 tengah malam kira-kira 500 meter dari tempat kejadian, katanya.

Sementara itu, mayat ketiga-tiga penuntut itu dituntut keluarga masing-masing tengah hari ini selepas selesai proses bedah siasat.

Mayat James, yang merupakan anak tunggal dituntut oleh bapanya Khor Ewe Kok, 51.

Khor berkata kali terakhir beliau menemui mendiang ialah dua minggu lepas ketika anaknya pulang bercuti ke Pulau Pinang.

"Ketika itu dia sangat ceria. Dia juga seorang yang aktif dan sukakan cabaran," katanya yang menganggap kejadian itu sebagai takdir dan menerimanya dengan tenang.

Kakak Yew Shy Gin yang enggan disiarkan namanya pula berkata adiknya itu adalah anak bongsu daripada tiga beradik dan merupakan seorang yang aktif dalam sukan bola keranjang.

Bapa saudara Yew Ghim Chnieh yang juga enggan dikenali berkata anak suadaranya itu adalah anak sulung daripada tiga beradik.

Kejadian semalam berlaku seminggu selepas tiga murid perempuan lemas di Sungai Kampar di sini. Dalam kejadian Isnin lepas, 19 murid lain terselamat apabila jambatan gantung di Sekolah Kebangsaan Kuala Dipang runtuh. BERNAMA

Artikel Lain