suria

Najib persoal motif disebalik penahanan Dr Asri

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak mempersoalkan apakah motif di sebalik penahanan bekas Mufti Perlis, Dr Mohd. Asri Zainul Abdin.

Beliau menambah, Dr Asri adalah seseorang penceramah agama yang jujur dan semua ceramahnya disokong oleh bukti dan dalil yang sahih dari Al-Quran dan As-Sunnah.

"Saya tidak tahu apakah motif disebalik penahanan (Dr Asri) ini. Ianya dilakukan oleh jabatan agama negeri dan ia tiada kaitan dengan kerajaan pusat," katanya kepada pemberita selepas merasmikan konvesnyen Pasar Tani di sini pada Isnin.

Najib berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung penahanan Dr Asri oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) pada malam Ahad kerana didakwa mengamalkan fahaman Wahabi kepada pengikutnya.

Sementara itu, Dr Asri yang ditahan oleh JAIS tengah malam tadi dibebaskan dengan jaminan polis kira-kira pukul 1.10 pagi tadi.

Bagaimanapun beliau dikehendaki hadir ke Pejabat Agama Islam Daerah Gombak pada pukul 9 pagi esok untuk merakamkan keterangan.

Dalam perkembangan berkaitan, Dr Asri bagaimanapun menolak sebab penahanannya ialah atas dakwaan beliau merupakan pengikut Wahabi.

"Dia (anggota JAIS) tak sebut pun perkara itu (Wahabi) kepada saya, dia kata saya mengajar tanpa tauliah, dia tak kata isu itu.

"Isu yang dia kata ialah kerana saya tidak ada tauliah... itu sahaja," katanya dalam satu sidang media selepas dibebaskan hari ini.

Semalam, Dr Asri ditahan pada pukul 9 malam apabila sekumpulan anggota JAIS memasuki sebuah banglo milik seorang ahli perniagaan di Taman Sri Ukay, Hulu Klang ketika ketika Dr Asri memberikan ceramah kepada lebih 300 pengikut.

Bagaimanapun suasana menjadi kecoh apabila sekumpulan lelaki yang berada di dalam banglo berkenaan cuba menghalang penguat kuasa JAIS untuk menahan Mohd Asri.

Pihak polis yang memantau operasi berkenaan hanya menjadi perantara kerana tidak mempunyai waran tangkap.

Turut sama berada dalam banglo berkenaan yang juga sedang mengikuti ceramah oleh Mohd Asri ialah Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Klang, Saari Sungib.

Artikel Lain