suria

Kerajaan negeri sambut baik pembinaan 24 unit rumah teres di Kampung Buah Pala

PULAU PINANG: Kerajaan Negeri Pulau Pinang menyambut baik keputusan Koperasi Pegawai-Pegawai Kerajaan Negeri untuk membenarkan pemaju projek Kampung Buah Pala, Nusmetro Venture (M) Sdn Bhd, membina 24 unit rumah teres dua tingkat untuk penduduk kampung itu.

Timbalan Ketua Menteri II, Dr P. Ramasamy berkata kerajaan negeri sememangnya mahu menyediakan rumah untuk penduduk kampung yang telah menerima tawaran itu.

"Mereka akan mendapat rumah seperti mana yang diluluskan oleh Koperasi iaitu 24 buah rumah teres dua tingkat di Kampung Buah Pala," katanya ketika dihubungi hari ini.

Pada mesyuarat luar biasa Koperasi itu semalam, koperasi bersetuju dengan cadangan kerajaan negeri untuk membina 24 buah rumah terbabit di Kampung Buah Pala.

Ramasamy berkata daripada 33 keluarga yang tinggal di atas tanah milik koperasi itu, sembilan keluarga bersetuju menerima pampasan kira-kira RM75,000 manakala 15 keluarga lagi baru menandatangani perjanjian.

Ramasamy berkata penduduk yang menolak tawaran itu masih berpeluang mendapatkan pampasan yang dijanjikan kerajaan negeri dengan syarat mereka perlu menghantar surat rayuan kepada kerajaan negeri kerana tempoh tawaran sudah berakhir.

Sementara itu, pengerusi Koperasi Abdul Razak Mansor berkata jumlah keluarga yang dinyatakan kerajaan negeri berbeza daripada yang diberikan pemaju.

"Setahu saya, sebelum ini terdapat 10 keluarga yang telah berpindah dan menerima pampasan, diikuti 12 keluarga yang menandatangani perjanjian dengan kerajaan negeri.

"Semua mereka akan diberikan satu unit rumah teres dua tingkat," katanya sambil menegaskan bahawa permintaan daripada 11 keluarga lagi yang menolak tawaran pemaju untuk mengosongkan tanah itu tidak akan dilayan.

Beliau berkata mereka perlu membuat tuntutan kepada kerajaan negeri dan pemaju projek, dan terpulang kepada pemaju sama ada mahu menempatkan mereka semula di satu kawasan lain. BERNAMA

Artikel Lain